Diari MO KK - Peristiwa Baris Hadapan Covid-19

Nota - entri ini bersifat retrospektif.

Wabak covid-19 semakin menjadi-jadi di Malaysia. Bahkan Perdana Menteri ke-8 beserta Agong telahpun mengeluarkan perintah "Kawalan Pergerakan" kepada semua rakyat Malaysia bermula 18.3.2020. Harap-harapnya kejadian kes dapat dikawal sepenuhnya..

Bersempena arahan tersebut, maka banyak premis kerajaan terpaksa ditutup. Dan tentulah bangunan UTC tempat aku kerja juga terkesan sama. Pada awalnya, aku dipanggil bertugas semula di 'klinik penjaga'. Namun terdapat arahan baru bahawa semua staf klinik di UTC dipanggil khas untuk bertugas di pusat saringan covid-19, bermula 20.3.2020 (Jumaat).

Fasa persediaan (aku terima arahan ini pada 17.3.2020)

18.3.2020 (Rabu) - Mesyuarat gempar oleh pejabat kesihatan & klinik yang terlibat. Pada awalnya pusat saringan covid-19 dirancang untuk buka di Klinik Kesihatan Batu Kawa. Aku rasa klinik ini sesuai sebab klinik ini agak terpinggir dari bandaraya (laluan trafik kurang sesak sebab takde premis lain sangat), serta ruang parkir yang agak luas. Tentulah, pusat saringan ini dirancang di kawasan parkir terbuka, jadi beberapa khemah telah pun dipacakkan. Cuma tinggal nak susunkan meja & kerusi sahaja. Sambung esok.

19.3.2020 (Khamis) - Terdapat percanggahan pendapat daripada pasukan utama Hospital Umum Sarawak (jabatan penyakit berjangkit), iaitu mereka menginginkan lokasi yang lebih dekat dengan kawasan hospital. Lebih mudahkan urusan dan pemantau pesakit katanya. Dalam perbincangan sesama pihak atasan, akhirnya Kelab Belia & Sukan menjadi pilihan.
"Macam mana ni? Esok sepatutnya buka. Petang baru melawat kawasan dan rancang susun atur carta aliran pesakit."
Jadi kami terpaksa meminta tangguh pembukaan pusat saringan sehinggalah persediaan kami selesai. (Ye la, pasukan hospital yang mengubah rancangan pada saat akhir. Kami dah siapkan khemah di tempat kami)

20.3.2020 (Jumaat) - Hari yang khas untuk persiapkan tempat. Pada awalnya kami diberi arahan untuk guna dewan tertutup. Namun, pegawai atasan kami menentang keras kerana covid19 dalam tempat tertutup sangat berisiko untuk merebak kepada sesama petugas saringan. Maka berlaku perbalahan untuk dirikan khemah di luar dewan sahaja serta gunakan kawasan kafeteria (terbuka) sahaja.

Sampai petang, datang pula YB negeri memeriksa kawasan (isunya sebab pesakit dah dimaklum awal hari ni buka --> pusat belum siap --> pesakit ditolak pulang --> buat aduan? --> YB datang untuk periksa keadaan). Sekali lagi timbul masalah, bahawa YB berkeras agar menggunakan dewan juga (faktor sosial menjadi perhatian utama, tapi masih sedikit ambil kira kebajikan petugas). Perbalahan lagi akhirnya. Namun, akhirnya kami terpaksa akur


Sabtu 21.3.2020 (Hari 1) symptomatic bay team : Aku, Syamin, Lynda
Pada awalnya, kami dibahagikan kepada 2 pasukan. Kononnya hari ini pasukan A, jadi pasukan B rehat dulu di rumah. Namun, hari pertama memang dilanda badai pesakit yang besar. Pasukan B terpaksa dipanggil dari rumah untuk bantu pasukan A

Ahad 22.3.2020 (Hari 2) - asymptomatic bay team: Aku, Sulaiman, Syamin
bermula di zon tidak bergejala. Sini lebih cepat sebab tak perlu nak periksa pesakit sangat. Tanya sejarah pesakit. Kenal pasti kontak yang sah, lepas tu terus pelan siasatan. Pada masa ni, masih ramai yang jenis panik (bukan kontak kes yang benar-benar). Maka banyaknya kami selesaikan di situ sahaja tanpa pelan siasatan.
"Nanti kalau semua pukul rata arahan kuarantin (quarantine order), mengamuk pula tak boleh keluar rumah..."
Isnin 23.3.2020 (Hari 3) - symptomatic bay team: Aku, Zizi, Lynda
Aku kena jaga kawasan simptomatik lagi. Hari ni, bilangan pesakit sebenarnya tak ramai (kalau nak dibandingkan dengan hari 1 terdahulu), tapi suasana persekitaran tak selesa (baju panas, pakai topeng muka tak selesa, jarak 1 meter pesakit tak dengar) memang satu cabaran hebat buat kami.

Oh ya, hari ini sesi pengambilan sampel (throat swab for RT-PCR covid19) bermula secara rasmi. Bahkan hari ni isnin maka kena jangka ramai pesakit hari ini.

tak dinafikan seronoknya ialah ada pihak yang belanja makan percuma. Yosh, gambatte!
Selasa 24.3.2020 (Hari 4) - symptomatic bay team : Aku, Sulaiman, Naqib

Rabu 25.3.2020 (Hari 5) - swabbing team : aku, Naqib
Dah sampai giliran aku bertugas di kawasan pengambilan sampel. Kena buat sapuan tekak (throat swab) bagi pesakit yang hadir. Ramai orang hadir hari ini, hampir semuanya merupakan saringan kluster tabligh. Sesi kami pesakit sampai 100 orang. Cuaca panas terik, baju berlapis tebal, Takde kipas - tak larat sangat dah. Pembantu aku MA Sam dua kali bertukar pakaian.

Khamis 26.3.2020 (Hari 6) - symptomatic bay team: aku, Naqib, FMS Dr Lenny
Hujan lebat sejak awal pagi. Jadi aku datang naik kereta pula. Oh ya, hari aku bertugas di kawasan saringan pesakit bergejala (symptomatic). Oleh sebab hujan, maka jumlah pesakit sepanjang sesi pagi kurang. Atau ramai dari mereka tidak bergejala maka mereka mengerumuni kawasan saringan tidak bergejala, mungkin..

Jumaat 27.3.2020 (Hari 7) - symptomatic bay team : Aku, Sulaiman, Syamin
Zon kali ini agak lapang. Terdapat garis panduan baru, yang mana saringan pesakit bergantung kepada faktor risiko (kena tanya tentang risiko: DM/HPT/BA, obesiti, umur>50, lelaki, rokok dll). Kalau lebih faktor risiko kena bincang dengan pasukan penyakit berjangkit (ID) untuk kemasukan wad. oh ya, sementara itu, aku dapati terdapat 2 pesakit lebih kepada psikologi cemas /panik sehinggakan datang simptom-simptom

Sabtu 28.3.2020 (Hari 8) - swabbing team: Aku, Sulaiman
Memang cabaran kerja di sini sebab panas. Jadi bergantung kepada daya tahan pasukan untuk bertahan. Dalam mengharungi kerja kali ini, rakan seperjuangan aku Sulaiman tak dapat tahan lagi, dan menyerah kalah. Maka aku la yang kena buat tugas untuk dua orang. Nasib baik MA kali ini kedua-duanya MA klinik aku sendiri Sam & Ronny, jadi memang senang nak koordinat giliran pesakit back-to-back. Penat lebih la tapi ^-^! Dan didapati pasukan petang juga tak terdaya nak buat secara berterusan..

Ahad 29.3.2020 (Hari 9) - symptomatic bay : Aku, Hana Yasmin
Jaga di zon bergejala lagi. Antara pengalaman bermakna hari ini ialah;
"Pesakit datang kali ini adalah dari kluster keluarga R/I/A (ketiga-tiga pulang ke rahmatullah) yang mana pesakit merupakan cucu kepada R. Namun, dari sejarah pesakit, ibu bapanya yang rapat sesama ahli keluarga semua dah dimasukkan ke dalam wad hospital. Jadi dari keluarga nukleus, 4 dari 6 orang keluarga asasnya dah terjebak dengan penyakit covid19. Pernilaian hari ni menunjukkan dia mempunyai gejala demam dan batuk (simptom baru), memang jadi satu perbincangan bagi aku dan pasukan penyakit berjangkit tentang langkah terbaik untuk dia. Yang mana akhirnya dia dimasukkan ke wad untuk pemantauan..." 
Jadi sekarang hanya si kakak sahaja yang tak kena, namun tetap berisiko tinggi sebab mereka adalah keluarga rapat kepada R/I/A. Betapa covid 19 sungguh berbahaya sehingga seluruh generasi keluarga dari nenek sampai cucu semua terkena sampai kritikal..

Isnin 30.3.2020 (Hari 10) - Asymptomatic bay : Aku, Shamin, Siti Hazirah
Zon yang semakin sibuk dewasa ini. Ramai orang semakin peka sampai datang untuk buat saringan. Gelombang kluster tabligh dah berlalu, gelombang hangat hari ini ialah daripada kalangan gereja Good News Fellowship (GNF). Aku dapat arahan, 'siapa sahaja dari kluster ini datang tak kira apa buat sahaja saringan sapuan tekak (throat swab)'. Oh ya, hari ini juga aku bertembung dengan pensyarah universiti aku Dr Zul turut membuat saringan sebab ada kontak rapat.

Selasa 31.3.2020 (Hari 11) - Swabbing team : Aku, Naqib
Pada mula agak lapang, pesakit datang sikit-sikit. Tapi cuaca panas. Takde mood aku nak main handphone sementara menunggu pesakit sebab rimas. Menghampiri saat akhir, pesakit menjadi ramai. Habis lambat hari ini. Jaga swabbing memang sangat mengah sebab takde kipas.

Rabu 1.4.2020 (Hari 12) - Asymptomatic bay team : Aku, Rafah(baru), Fakri, Betty
Oh ya, aku minta bertukar dengan Zailani (geng UTC) sebab nak hadiri temujanji isteri berjumpa doktor. Oh ya, ada MO baru mulai hari ini, sebab salah seorang tarik diri dari pasukan (tak diketahui tujuan sebenar). Bahkan doktor penyelia kami Dr Mishael pun telah diwadkan atas faktor kesihatan diri, lantas berlaku serahan tugas kepada Dr Majorie pula untuk menyelia tugas kami.

Tapi apa yang mendukacitakan buat semua ialah kami petugas MO tidak dapat buat tuntuan elaun kerja hari minggu/lebih masa pun walaupun kerja tiap-tiap hari (sebab jam kerja tak cukup)

Khamis 2.4.2020 (Hari 13) - Asymptomatic bay team : Aku, Naqib, Sulaiman
Kluster terbaru masa kerja sini ialah dari SMK Bandar no.1, jadi ramai datang untuk saringan. Sementara itu, kawan kami Hazirah (zizi) & Hana Yasmin diarah untuk perintah kuarantin sebab adik Zizi didapati positif covid-19 (tak silap aku yang buat sapuan tekak dia masa hari 11 tempoh hari). Jadi pasukan kami berkurang tenaga kerja.
Semakin ramai kakitangan kesihatan terdedah kepada risiko kerja kali ini. Seorang demi seorang terpaksa kuarantin. Dapat ke kami bertahan sampai habis tempoh perintah kawalan pergerakan ini..

Jumaat 3.4.2020 (Hari 14) - Symptomatic bay team : Aku, Asri
Ada beberapa MO Baru (Asri/Effa/Tangalakshmi/Azif), datang untuk membantu, maka pasukan kami menjadi 8 orang pula. Dengan pertambahan tenaga kerja, harap tak terbeban sangat dengan suasana kerja sini. Oh ya, aku kena mentor MO baru di zon simptomatik. Terdapat kluster baru, iaitu kluster mesyuarat sumber alam (tentang pengurusan bencana) yang diadakan 30.3.2020. Rupanya si pengerusi kena positif, maka yang lain datang untuk saringan.

Sabtu 4.4.2020 (Hari 15) - Asymptomatic bay team : Aku, Asri, Sulaiman, Effa
Jaga zon tidak bergejala. Hari ini jaga berempat. Alhamdulillah tak terasa terbeban dengan ramai-ramai pesakit. Oh ya, Effa masih baru dalam pasukan ini. Jadi aku kena mentor dia kejap untuk urusan temuramah pesakit sikit-sikit.

Ahad 5.4.2020 (Hari 16) - Swabbing team: Aku, Asri
Pagi dimulai hujan lebat. Harap-harap pesakit tak rapat dek hujan tersebut. Tapi hujan hanya di sebelah pagi sehaja, sekejap. Tapi Alhamdulillah kedatangan pesakit masih dapat diurus berselang-seli dengan rehat. Cuaca selepas hujan pula agak mendung, maka panas itu kurang maka dapat bertahan lebih sikit..

Isnin 6.4.2020 (Hari 17) - rehat
Keluar jadual baru. Akhirnya pegawai penyelia memberikan cuti rehat kepada pasukan aku. Terdapat satu lagi pasukan diwujudkan untuk memberi peluang rehat kepada rakan-rakan yang dah penat. Maka terdapat 3 pasukan sekarang. Setiap hari akan ada 2 sahaja pasukan yang aktif, satu lagi rehat. Jadi dalam setiap 2 hari bekerja akan disusuli rehat sehari. Wah, sungguh menyegarkan dapat rehat.

Selasa 7.4.2020 (Hari 18) - asymptomatic bay team: Aku, Effa, Asri
Hari ni ada garis panduan baru. Melibatkan penggunaan rapid test kit kepada golongan tertentu. Huh, pening pula nak buat keputusan pesakit perlu saringan sapuan tekak (throat swab) atau ujian darah (rapid test kit). Bukan ke rapid test kit ni tak sesuai ke?

Rabu 8.4.2020 (Hari 19) - swabbing team : Aku, Effa
Cuaca panas. Nasib baik la kat kawasan swabbing sudah ada kipas. Tapi syaratnya tak boleh buka kipas selagi pesakit masih ada. Kena tunggu pesakit habis baru boleh rehat dengan kipas. Dan lagi, terdapat bekalan air mineral untuk minuman rupanya. Daya tahan aku meningkat sikit sebab boleh rehat 5 minit minum air. (Hakikatnya kerja di swabbing sangat panas dan berpeluh. Terasa dehidrasi sebab peluh banyak keluar. Jadi bila dapat minum semula pun dah bersyukur sangat)

Khamis 9.4.2020 (Hari 20) - rehat

Jumaat 10.4.2020 (Hari 21) - asymptomatic bay team : Aku, Naqib, Asri
Hari ini banyak dari kluster polis. Terdapat pegawai yang menghadiri mesyuarat disahkan positif maka seluruh pegawai polis diminta buat saringan

Sabtu 11.4.2020 (Hari 22) - asymptomatic bay team : Aku, Effa, Lynda
Hari ini pula banyak dari kluster khidmat perkuburan (funeral service). Khabarnya ketika mereka menguruskan pelanggan rupanya pelanggan sah positif pula. Satu seluruh pekerja disuruh buat saringan.

Ahad 12.4.2020 (Hari 23) - rehat

Isnin 13.4.2020 (Hari 24) - swabbing team : Aku, Naqib
Hari ni jadi swabber pula. Oh ya, ada peralatan baru ditaja oleh syarikat luar. Mereka membekalkan kotak pensampelan, hendaknya memudahkan kerja buat pensampelan tekak pesakit. Jadi, aku & Naqib diminta membuat percubaan (test drive). Tapi apa yang berlaku, pesakit pagi ini sangat ramai. Berbondong-bondong berbaris. Dengan watak VIP senangnya potong baris, aku rasa orang lain tak suka lambat-lambat. Jadi pengalaman peribadi aku guna kotak ini; lebih masa pensampelan (kurang efisien) sebab
  • doktor akan bergantung penuh kepada bantuan pembantu perubatan untuk;
    • pasangkan sarung tangan getah di luar hijau (gambar)
    • serahkan peralatan seperti penekan lidah (tongue depressor) & kayu swab (swab stick)
    • dan pembantu perubatan buat kerja bungkus sampel/hantar ke kaunter pengumpulan lagi..
  • secara peribadinya, aku susah nak berkomunikasi dengan pesakit (tingkap plastik sedikit kalis bunyi), jadi susah nak jelaskan prosedur atau beri arahan (tambah-tambah kalau pesakit budak)
Jadi akhirnya aku tak guna pun kotak ini, aku guna cara lama sebab lebih tangkas..

Selasa 14.4.2020 (Hari 25) - asymptomatic bay team : aku, Tanga, Lynda
Oh ya, Tangalakshmi jadi rakan seperjuangan aku kali ini. Watak ini asalnya pasukan cardiothorasik ketika bekerja di Pusat Jantung dulu [nota jujur - pasukan cardiak & cardiothorasik sering bermusuhan ^-^!]. Takpe la, aku boleh bekerjasama seperti mana takde apa-apa berlaku.

Dan juga, ada pihak taja baju kelengkapan PPE (lihat gambar), lebih lengkap dan menyeluruh. Tapi masih panas baju ini. Aku rasa pening-pening selepas 2 jam bersarung baju ini. Nasib baik kerja di zon asymptomatik.

Pesakit kali ini? Tak ramai dan terkawal. Cuma ada kluster baru dari klinik luar. Jadi sekumpulan kontak telahpun dihubungi untuk saringan.

Rabu 15.4.2020 (Hari 26) - rehat

Khamis 16.4.2020 (Hari 27) - symptomatic bay team : Aku, Tanga
Macam maskot digi pula. Oh ya aku paling belakang
Dah sekian lama rasanya tak jaga zon bergejala ni. Takut pula aku. Tapi rupanya pesakit yang datang tak seramai sangkaan. Aku kira zon tidak bergejala lebih ramai rupanya. Namun begitu, pesakit bergejala perlu diambil berat. Jadi tiap-tiap kes memang kena bincang dengan pakar untuk tindakan. Oh ya, FMS hari ini Dr Irfan, turut membantu berjumpa pesakit. Bagusnya.

Jumaat 17.4.2020 (Hari 28) - swabbing team : Aku, Tanga
Tengah hari dimulai hujan lebat. Disangkanya hujan sampai petang, tapi rupanya sekejap sahaja ^-^! Yang mengejutkan aku rupaya Tanga si rakan sekerja sangat komited dengan tugasnya (bukanlah aku nak bersenang lenang pula). Oh ya, hari ini terdapat kluster dari kem tentera muara tuang yang datang untuk saringan berupa sapuan tekak (throat swab)
"Sungguhpun PKP telah berlangsung sampai sebulan lamanya, yang mengejutkan banyak lagi kelompok 'orang awam'. Bukan patutnya dah PKP, mereka duduk rumah sahaja ke? Kenapa masih boleh merebak lagi ni?"
Sabtu 18.4.2020 (Hari 29) - rehat

Ahad 19.4.2020 (Hari 30) - asymptomatic bay team : aku, Tanga, Lynda
Misterinya kluster pesakit masih ada lagi dari semasa ke semasa. Aku ingatkan PKP sepatutnya takde aktiviti sosial jadi kes akan berkurangan. Kluster utama kali ini ialah dari klinik swasta. Ada pesakit covid19 datang klinik tersebut untuk pemeriksaan isu akut, tak semena-mena rupanya ada covid19. Jadi klinik diminta menyenaraikan semua pesakit yang hadir dalam julat masa yang berkaitan..


Isnin 20.4.2020 (Hari 31) - symptomatic bay team : aku, Lynda
Hari ni dalam sejarah. Mengantuk aku nak memulai kerja kali ini. Tapi sangat mengejutkan walaupun hari ini Isnin, tapi pesakit tak ramai di zon aku :O Sepanjang shif petang, langsung tak ada pesakit bergejala untuk saringan. Maka seronok kerja hari ini. Oh ya, hari ini juga Malaysia masih kekal prestasi kes baru 36 sahaja (tidak lagi beratus-ratus), sejak semalam

Selasa 21.4.2020 (Hari 32) - rehat

Rabu 22.4.2020 (Hari 33) - asymptomatic bay team : Aku, Sulaiman
Oh ya, aku tukar shif dengan Zailani geng UTC sebab isteri ada temujanji O&G pula. Perkembangan kandungan isteri dah sampai ke satu takat yang tak diduga kali ini. Apa agaknya yang akan jadi lepas ini. Harap semua selamat.

Berbalik ke tempat kerja, nampaknya ada kluster baru. Balai Polis padang merdeka (yang mana kemudiannya merebak ke CIMB yang berhampiran pula). Huhu, banyak aku terus rancang buat sapuan tekak saja sebagai saringan. Huhu..

Khamis 23.4.2020 (Hari 34) - swabbing team : Aku, Effa
Arahan terbaru dah 3 hari berlangsung rupanya. Kena ambil sampel sapuan dalam hidung (nasophraynx) dan mulut (oropharynx) pula. Aku tak pernah buat lagi sebelum ini (ada buat ulangkaji dari video secara teori), maka kena tengok rakan seperjuangan buat dulu. Oh senang je rupanya.
Kebetulan ada doktor tagging pula kat sini Dr Nazirul & Dr Javin, mereka dari pasukan unit bergerak yang kononnya akan aktif mencari pesakit sampai ke rumah. Jadi kami berbahagi pesakit dengan mereka. Tapi pesakit tak ramai pun. (ada la 21 orang --> setiap doktor akan urus 11 orang (sepatutnya) --> 5 orang diberi kepada doktor tagging untuk latihan = lebih orang 6 orang sahaja)


Jumaat 24.4.2020 (Hari 35) - rehat
Bulan puasa bermula hari ini. Maka terdapat sedikit perubahan waktu operasi di pusat saringan. Dan pada masa yang sama terdapat makluman dalaman bahawa pasukan unit bergerak perlu bantuan tenaga kerja (nak ambil dari pasukan kami) terutamanya doktor + hari minggu. Jadi timbul perbincangan sesama kami..

Sabtu 25.4.2020 (Hari 36) - asymptomatic bay team: Aku, Tanga
Dapat direktif baru. Kalau pesakit yang kontak-tidak-langsung yang perlukan ujian darah (rapid test kit), juga perlukan buat 'sapuan' (swabbing) kerana regen untuk proses ujian darah semakin terhad (bahkan sebenarnya ujian sapuan lebih tepat). Maka dengan itu, semakin ramai orang yang datang, aku terus pelan buat dua-dua sekali gus. Oh ya, kluster untuk hari ini ialah kluster SMK Muara Tuang. Dah lama dah sebelum PKP tapi dipanggil untuk saringan juga hari ini.

Ahad 26.4.2020 (Hari 37) - ekoran waktu operasi bulan ramadhan: rehat (sebab takde shif petang)

Isnin 27.4.2020 (Hari 38) - swabbing team : Aku, Asri
Ada rombakan jadual baru sebab ramai kena tarik pulang semula ke klinik asal masing-masing (kekurangan kakitangan). Jadi jadual kerja disusun semula menjadi pagi berselang-seli petang. Hm, hari ini sengaja aku sukarelakan diri untuk bertugas di kawasan swabbing. Kononnya nak merasa bertugas dalam puasa (agak-agak larat atau tidak). Lagi pun, sejak kebelakangan ini, pesakit tak ramai..

Namun, sangkaan aku meleset. Ada kluster orang 'beraya' pula dalam waktu PKP ini ^-^! Hari lahir, buat makan-makan pula sesama jiran tetangga..

nah, ramai orang >_<
Yang lagi tidak dijangka ialah rakan seperjuangan diminta doffing sebab arahan kuarantin (sebab isteri sedang dalam siasatan covid PUI). Jadi, tinggal la aku untuk menangani semua orang tersebut. Nasib baik ada pembantu MA Sam yang mahir untuk prosedur tersebut, maka dia pun turut membantu mengurangkan beban. Tapi memang tak menang tangan dibuatnya. Aku masih lagi dapat bertahan puasa, tapi balik rumah terus pengsan

---
Menjelang magrib, kami dikejutkan dengan berita bahawa salah seorang jururawat bertugas di pusat saringan KBS telah didapati positif covid19! Khabarnya dia dapat dari suami yang menghadiri konvensyen GNF (kot). Semua kakitangan tergolong dalam kategori berisiko tinggi sebab bekerjasama dengannya. Jadi semua digesa datang malam-malam untuk membuat saringan..

kini giliran kami menjadi PUI (aku tengah - baris ketiga)
Dengan itu, aku juga mendapat arahan untuk kuarantin.. Nampaknya bidang tugas aku di baris hadapan terhenti sementara di sini..

Doakan yang terbaik buat semua..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)