[JomBaca] Fikah Perubatan
JomBaca! Bulan yang terakhir untuk tahun ni. Bulan lepas (november 2020) aku terlepas membaca sebab sibuk dengan kerja di hotel. Sekarang aku dah kembali bekerja biasa, maka insya-Allah, cuba capai juga sasaran 12 buah setahun (12 bulan)
Buku kesebelas (ke-11), buku yang agak mendalam perbincangannya..
Fikah Perubatan
Penulis
- Dr Harmy Mohd Yusfoo
- Ustaz Shamsul Kamal Abdullah
- Dr Rosediani Muhammad
- Wan Nor Ainon Wan Abdullah
Penerbit - PTS Millenia publication, hasil kerjasama dengan Papisma
Bil halaman/ muka surat : 292 ms
Deskripsi (kulit belakang)
Selagi ada manusia, selagi itulah ada penyakit. Selagi ada penyakit, selagi itulah ada yang mengubat. Kemudian selagi ada perubatan, selagi itulah fikah perubatan wujud dan berkembang
Fikah perubatan menyentuh segenap aspek perubatan dan Islam. Buku ini melihat bukan sahaja pada hukum-hukumnya, malahan melihat teras akidah dalam perubatan dan aturan etika mereka yang terlibat
Fahami isu akidah dalam perubatan dan Islam. Antaranya
- Bolehkah perubatan dan Islam dipisahkan?
- Bagaimana kita boleh jadi kafir dengan berubat
Selami adab-adab doktor dan pesakit. Antaranya
- Adakah doktor dibenarkan memilih bagi mematikan pesakit?
- Beliau lelaki dan saya wanita, bagaimana sepatutnya pengubatan ini dilaksanakan?
Jejaki kaedah-kaedah syariah dalam perubatan dan Islam. Antaranya;
- Apakah itu perubatan Islam yang sebenar-benarnya?
- Fisiologi manusia dan bagaimana Islam selari dengan kajian moden
- Cara beribadah dalam keadaan yang terhad dan berpenyakit
Dengan isi yang tuntas dan bernas, Fikah Perubatan bukan hanya menawarkan teori dan pemahaman, malah membimbing kita terus dengan kaedah dan amalan yang sewajarnya..
Markah (peribadi) : 3.5/5
Komen (peribadi)
Gabungan topik agama & perubatan perihal etiqa dan hukum. Agak mendalam perbincangan dalam buku ni. Menariknya sekumpulan penulis ini menjelaskan dua-dua aspek secara terperinci.
Usaha luar biasa itu jelas diperlihat apabila penulis turut menjelaskan aspek perubatan dalam bahasa perantara biasa. (sebab aku dan latar belakang kerjaya aku memang dah ada sedikit idea tentang ilmu tersebut, tapi apabila diteliti memang penulis melakukan tugas dengan baik. (kalau aku sendiri yang nak cuba terangkan dalam bahasa tempatan terasa amat susah.).
Selain aspek hukum perubatan, terdapat juga ulangkaji berkenaan rukhsah ibadat. Misalannya, solat sebagai pesakit, solat sebagai pekerja perubatan, tayamum dan lain-lain.
Buku yang agak mendalam perbincangannya, tapi insya-allah buku ini menyampaikan ilmu penting berkenaan hukum dalam perubatan.
Ulasan