Hidup Tak Semudah Pesawat Tenang

Catatan kemaskini
2.9.2020 - penyesuaian dengan susun-atur & templat blog terbaru. (dulu guna templat yang klasik)

---- [SIARAN BLOG MULA DI SINI! JEMPUT-JEMPUT] ----

Kebetulan dah jumpa balik siaran gambar di laman sosial Facebook, maka ini peluangnya aku nak berceloteh kat sini
Kita boleh tenang menaiki pesawat walaupun kita tak kenal pun siapa 'pilot'nya. Tetapi, kenapa kita selalu resah menempuh hidup ini sedangkan kita tahu Tuhan telah mengatur segalanya..
Pertamanya, aku setuju tentang 'kita dalam kehidupan' diumpamakan seperti 'sedang dalam pesawat menuju ke suatu destinasi'. 

Tapi aku sedikit tak pasti tentang pernyataan Tuhan diibaratkan sebagai juruterbang. Mungkin ya mungkin tidak. Aku lebih selesa kalau ayat menyatakan Tuhan lebih daripada sekadar 'juruterbang'.

Dan aku paling tak setuju dengan "kita boleh tenang menaiki pesawat walaupun tak kenal siapa pilot (juruterbang)nya"

Kehidupan TAK BOLEH diibaratkan seperti tenang menaiki pesawat (yang damai & selesa)

Bagi aku ayat tersebut terlalu naif hanya mengandaikan situasi indah dan ideal. Kat sini aku nak bagi putar-plot sikit semoga kita lebih nampak. 

Sila bayangkan - Engkau pengsan dan diculik oleh seseorang. Bila dah sedar (bangun), tengok-tengok dah ada dalam pesawat. 
gambar hiasan

TAK TAHU pesawat nak pergi mana.. 

TAK KENAL juruterbang baik atau jahat.. 

TAK TAHU bila nak sampai.. 

Dan kebetulan cuaca di luar ribut taufan..  

Adakah engkau akan bertenang seperti mana andaian motivasi tadi?


TIDAK!! 
Seseorang hanya akan tenang naik pesawat apabila:
1# Adanya maklumat destinasi. Destinasi pula mesti suatu destinasi yang selamat.
2# Adanya maklumat tempoh penerbangan (misalnya 2 jam penerbangan).
3# Faktor cuaca yang baik
4# Faktor keadaan sistem kapal terbang yang baik
5# Maklumat syarikat penerbangan yang terjamin perkhidmatannya. Kemahiran Juruterbang mungkin termasuk dalam kategori ini (sengaja aku letak nombor 5 sebab tak penting sangat)
6# Faktor peribadi dalam keadaan aman (tidak dikejar musuh dll)

Jadi kalau ikut contoh yang diberi, seseorang itu boleh tenang dalam pesawat walaupun tak kenal juruterbangnya adalah disebabkan dah diketahui semua faktor-faktor penting itu tadi.
Seseorang tak boleh tenang kalau tak tahu destinasi (walaupun semua faktor lain diketahui)
Seseorang tak boleh tenang kalau cuaca tengah ribut taufan walaupun semua maklumat lain diketahui
Dan banyak lagi kemungkinan senario lain.. 
BEGITU JUGA DENGAN REALITI KEHIDUPAN! Kehidupan tak semudah yang disangka. Ada masa kita dah tahu destinasi & tempoh pelan (rancangan kehidupan) kita tapi tiba-tiba ada faktor tak terduga yang mengganggu.

Aku faham tujuan utama yang ingin disampaikan dalam perumpamaan tersebut ialah kita tak perlu nak resah dalam kehidupan, sebaliknya serahkan sahaja segalanya kepada Allah sebab Allah sebaik-baik perancang (Baca A'Imran 3:54) dan Allah tahu apa yang terbaik buatmu (Baca Al-Baqarah 2:216)
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya. (Surah Al-Imran 3:54)
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al-Baqarah 2:216)
Tapi, kalau nak kaitkan kehidupan umpama menaiki pesawat tenang aku tak setuju. Sebab realitinya "pesawat" kita akan dilanda pelbagai masalah & cabaran. Baca A-Baqarah 2:214 tentang Allah akan datangkan ujian
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Surah Al-Baqarah 2:214)
Jadi bukanlah niat aku nak meremehkan cubaan motivasi tersebut. Namun, aku lebih suka bersifat realistik sedikit dalam imaginasi terutamanya motivasi yang suruh berfikir. Allahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)