[Game] Resident Evil 2 Remake

[nota - entri ini bersifat santai sahaja, kategori sembang game semata-mata]

Bersempena musim wabak covid-19 ini, perintah kawalan pergerakan (PKP) telah pun dikeluarkan oleh Perdana Menteri, bahkan Agong juga memberi titah perintah yang sama. Jadi, boleh la luang masa untuk main game. Tengok-tengok di kedai maya PSN, ada jualan hebat sikit untuk pelbagai judul Resident Evil (promosi bersempena terbitan game baru Resident Evil 3 Remake). Aku amat meminati siri game ini (boleh rujuk penulisan lama tentang Resident Evil)..

Jadi salah satu judul dalam siri RE yang menarik perhatian aku ialah Resident Evil 2 (versi asal 1998).
"Game ini berkisar tentang seorang polis muda bernama Leon Kennedy yang baru sampai ke Bandar Raccoon. Setibanya di bandar dia mendapati bandar tersebut telah dipenuhi oleh mayat hidup. Dia diserang oleh mayat hidup lantas cuba melarikan diri. Dalam proses tersebut, dia terserempak dengan gadis bernama Claire Redfield yang kebetulan baru sampai ke bandar untuk mencari abangnya. Mereka akhirnya lari dengan memandu kereta polis. Bercadang untuk pergi ke balai polis untuk dapatkan maklumat, namun mereka diserang mayat hidup dari kerusi penumpang belakang. Dalam pergelutan, kereta terbabas dan berlaku perlanggaran. Tak sempat berehat, mereka dirempuh oleh lori tangki pula, tapi mereka terpisah oleh kebakaran yang berlaku. Maka game akan bermula di sini.."
Boleh tengok klip video berikut --> Resident Evil 2 (1998) - Opening Scene (Leon)
Ciri menarik game RE2 (asal 1998) ialah game terbahagi kepada 2 sisi senario (diwakili oleh watak berbeza; Leon & Claire) yang mana selain mempunyai set senjata tersendiri, mereka mempunyai laluan & plot cerita yang berlainan.

Dan apa yang lebih menarik lagi, pemain bebas untuk memulakan game ikut pilihan sendiri sama ada
  • Leon (senario A) --> Claire (senario B) 
  • Claire (senario A) --> Leon (senario B)
Tahu tak, setiap kombinasi senario mempunyai plot cerita yang nyata berbeza? Begitulah hakikat game ini, ia memang unik. Ini membuatkan pemain tergerak untuk main semula sebab nak tahu jalan cerita yang berlainan

Jadi Capcom si pengeluar telah membuat keputusan untuk terbitan versi remake pula untuk game RE2 ini sejak tahun lepas (2019). Tak tersampai niat aku nak beli sebab harga game PS4 secara umum sangat mahal. Sehinggalah jualan hebat di kedai maya, barulah aku dapat beli dan cuba game ini..

Resident Evil 2 (Remake 2019)
Nota - Lepas ini, aku guna singkatan RE2R untuk versi 2019, RE2 untuk versi 1998

Komen aku tentang game ini?

#1 Grafik yang lebih gempak (GOOD)
Aku rasa ramai sedia maklum dan tak nafikan. Teknologi penghasilan grafik, kalau nak dibandingkan prestasi 1998 vs 2019, semestinya yang terbaru lebih kualiti tinggi. Jadi, yeah! Memang terbaik dari segi grafik.

#2 Lakon suara lebih real & semulajadi (GOOD)
Lakon suara watak dalam game ini lebih semula jadi. Rasa lebih real seperti mana perbualan dalam kehidupan seharian. Kalau RE2, skrip watak nampak sangat skema & baku (tak begitu real) ^-^!

#3 Cara permainan yang lebih meluas (GOOD) 
  • RE2R ni menggunakan konsep 'pandangan pihak ketiga' (3rd person view) dari sisi bahu (over the shoulder). Kesannya game membolehkan watak lebih bebas membidik senjata ke arah musuh. Nak tembak kaki atau mana-mana pun terpulang. 
  • Selain itu, enjin pemprosesan game kini membolehkan aksi buka pintu/ naik tangga /periksa barang dilakukan sangat lancar (tanpa perlu menunggu loading screen). Game lebih lancar  
Cuma secara peribadi aku suka versi asal RE2 yang menggunakan konsep kamera tetap (fixed camera)
#4 Beberapa babak watak diperhebat lagi (GOOD)
Yang ni ketara buat beberapa watak dalam plot RE2 ini
  • Leftenan Marvin - lebih berperanan besar dalam menangani isu di balai polis. 
  • Sherry si budak - lebih babak aktif di pusat anak yatim
  • Kendo si penjual senjata - menghadapi dilema untuk selamatkan diri sebab anak perempuan kecilnya telahpun dijangkiti virus 
#5 Latar tempat ditambah & diperbaik (GOOD)
Terdapat latar tempat baru takde atau tak ketara sebelum ini dalam RE2:
  • Laluan keluar parking 
  • Kawasan pembentungan (Sewer) - diperhebat
  • Pusat anak yatim (Orphanage)
  • NEST (sebagai ganti makmal umbrella) 
Namun, terdapat beberapa latar lama dihapuskan - Kilang. 

#6 Pilihan mod game tambahan (GOOD)
Terdapat mod game tambahan yang diperkenalkan dalam game ini. Mode game tersebut hanyalah sebagai cabaran/hiburan tambahana pemain semata-mata; Berupa senario apa kata (what if) terdapat orang lain yang turut terselamat, apa cerita mereka agaknya?
  • Kendo si peniaga senjata - Apa kata Kendo berjaya mengatasi kesedihan kehilangan anaknya dan bertekad untuk tinggalkan bandar Raccoon, bagaimana dia memilih jalan keluar?
  • Perempuan (aku tak tahu nama dia) - Apa kata kalau perempuan ini berjaya meloloskan diri dari dibunuh ketua polis yang jahat itu? Bagaimana dia nak selamatkan diri dari bandar yang penuh mayat hidup ini?
  • Hunk (salah satu unit serangan khas yang dihantar oleh organisasi rahsia dihantar untuk merampas sampel virus G) - katakanlah dia selamat dari serang balas saintis William, apa agaknya jalan keluarnya 
  • Syerif (ni babak di kedai stesen minyak) - kalaulah dia terselamat dari dimakan, macam mana dia nak bertahan sehingga bantuan sampai? 
#7 Takde variasi unik senario A/B (BAD)
Sama saja anda main Leon A atau Leon B, selain 15 minit pertama & 5 minit terakhir. Leon akan tetap mengharungi plot cerita yang sama, menentang boss yang sama di tempat yang sama. Takde variasi langsung. Menghampakan.

Sebagai perbandingan, RE2 membentangkan senario [LeonA/ClaireB] atau [ClaireA/LeonB] mempunyai plot cerita yang berbeza, bahkan raksasa (boss) senario A langsung tak sama dengan senario B.

#8 senario A & B seolah-olah mereka dalam dimensi yang berbeza (BAD)
Selepas detik pertemuan mereka di pagar balai polis, kemudiannya mereka seolah-olah berada dalam dimensi yang berbeza. Dari segi gameplay (selesaikan puzzle yang sama, jumpa kunci yang sama) mungkin dapat dimaafkan sikit. Tapi dari segi plot juga begitu.

Di mana LeonA bertembung dengan boss William, di situ juga ClaireB akan bertembung boss William (dan sebaliknya). Bahkan fasa boss juga betul-betul seiras. Sebiji! Latar tempat juga tak terkesan. Mesin kontena yang sepatutnya dah rosak dek LeonA tiba-tiba masih elok dalam ClaireB. Sangat pelik.

Leon dapat chip ID staf Doctor Li, ClaireB pun dapat chip ID staf Doctor Li. Sangat pelik.

Untuk perbandingan, dalam RE2 paling tidak masing-masing akan berjumpa boss pada peringkat fasa yang berbeza, menunjukkan boss sudah bertembung Leon kemudiannya bertembung Claire pula. Menunjukkan terdapat logik kesinambungan evolusi raksasa (boss). Tempat pula, jentera yang dah rosak dicucuk monster masih lagi nampak.

#9 Leon secara fizikalnya tak ambil hirau kewujudan Claire (dan sebaliknya) seolah-olah memang tak pernah wujud sepanjang menjelajah tempat (BAD)
Selepas detik pertemuan di pagar, Leon & Claire ialah masing-masing. Langsung tak bertembung, langsung tak berkomunikasi. Berdikari sendiri. Total. Buat keputusan sendiri, bergerak sendiri. Jalan sendiri. Semuanya sendiri. Walaupun mengharungi kawasan yang sama dan bertemu boss yang sama (detik yang sama tapi dimensi berbeza?). Sehingga di 15 minit terakhir, tiba-tiba ternampak di monitor baru la cuba cakap berhubung balik, tu pun suruh keluar masing-masing dan kebetulan naik kereta api yang sama

Persembahan RE2 lebih baik. Leon & Claire bertemu dalam balai polis. Bincang nak buat apa. Berpisah cari orang lain tapi saling berhubung. Siap boleh minta tolong lagi [ClaireA/LeonB]

#10 plot yang tidak konsisten - lubang plot (plot hole)  (BAD)
Terdapat banyak lubang plot dalam RE2R (yang mana aku rasa prestasi RE2 lebih baik). Maksudnya banyak segmen plot telah dipotong pendek atas sebab yang aku tak ketahui. Antara yang nak aku ajukan dalam blog ini;
  • Claire seorang pelajar, tapi tak dijelaskan kenapa dia boleh ada pistol pula (dalam RE2 Claire jumpa pistol masa naik kereta polis sama-sama dan diminta simpan untuk kegunaan)
  • Tak dijelaskan kenapa watak B nak masuk dalam kedai stesen minyak.
  • senario B terus dimulai dah sampai balas polis (takde meredah jalan raya dari tempat kemalangan)
  • watak senario B cepat dah sampai ke detik perjumpaan mereka (senario A pusing 45 minit, baru sampai tapi senario B dah sampai dalam 5 minit je)
  • Tak dijelaskan kenapa watak ketua polis jumpa-jumpa terus seorang yang jahat dan tak berperikemanusiaan.
  • senario Claire di pembetungan - tak dijelaskan kenapa Sherry boleh terperangkap dalam bilik sampah, serta maknya Annette pergi mana
--- Kesimpulan akhir ---

Bagi aku game RE2R masih satu game yang seronok untuk dimain sebagai satu pengalaman baru.
Cuma secara peribadi, aku menghargai RE2 sebagai siri yang lebih baik. Ala, rindunya nak main versi klasik. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)