"Jangan Kutip Hutang!" - Mesej Rahsia Kisah Hassan Al-Basri

Berjumpa lagi kisah nasihat yang bermanfaat di laman Facebook. Ini bukan kali pertama aku baca kisah ni. Mesej aku dah dapat, tapi lagi baik bila dapat simpan sendiri. Sebab bacaan kedua atau ketiga pada masa akan datang akan mendatangkan mesej nasihat yang berbeza. Macam hari ni.. 

Pertamanya, aku salin tampal dulu kisah tersebut:

PESANAN HASSAN AL-BASRI KEPADA 2 ANAKNYA: JANGAN KUTIP HUTANG!

---- [kredit kepada siaran Shariff Mustaffa yang berkongsi di laman Facebook] -----

Hassan Al Basri merupakan seorang ulama dan ahli perniagaan. Beliau memiliki dua anak lelaki. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memanggil kedua anak lelakinya, lalu berpesan,
"Bila ayah telah tiada lagi di dunia ini, kamu berdua hendaklah meneruskan perniagaan ayah. Cuma ada 2 perkara ayah ingin kamu lakukan.
1. Bila kamu berniaga, jangan kutip hutang.
2. Bila kamu berniaga, jangan kena matahari."
Kemudian Hassan Al Basri mengakhiri hayatnya dan meninggal dunia.
Masa telah berlalu dan selang beberapa tahun, perniagaan si adik semakin merosot dan terus merosot. Manakala perniagaan si abang semakin maju dan maju.
Satu hari si Ibu (balu Hassan Al Basri) memanggil anaknya si adik. Lalu bertanya,
Si ibu : "Wahai adik, kenapa perniagaanmu semakin hari semakin merosot?"
Jawab si adik: "Saya ikut pesanan ayah."
Si ibu : "Apakah pesanan ayahmu?"
Jawab si adik : "Ayah berpesan, KALAU BERNIAGA JANGAN KUTIP HUTANG. Jadi, semua yang berhutang dengan saya, saya tak pernah minta bayaran. Kalau mereka nak bayar, mereka bayar. Kalau mereka tak bayar, saya tak kan kutip bayaran."
Pesan ayah lagi, "KALAU BERNIAGA JANGAN KENA MATAHARI."
"Kemana sahaja saya berniaga, mesti bawa payung. Jadi semua perniagaan itu tidak kena matahari sebagaimana pesan ayah." [nota - dari versi yang aku baca dulu-dulu, si adik menambah jawapan: "Ke mana sahaja saya pergi berniaga, saya terpaksa guna teksi supaya tidak kena matahari. Saya dapati tambang teksi sangat mahal dan merugikan perniagaan saya"]
Kemudian, si ibu pergi berjumpa dengan si abang pula, lalu bertanya.
Si ibu : "Wahai abang, ibu lihat perniagaanmu semakin hari semakin maju, apa yang kamu lakukan ?"
Jawab si abang : "Saya ikut pesan ayah."
Si ibu : "Apa pesanan ayahmu?"
Jawab si abang: "Ayah pesan, KALAU BERNIAGA JANGAN KUTIP HUTANG. Jadi , semua saya JUAL TUNAI. Maka, tidak ada orang berhutang dengan saya. Saya ikut pesan ayah, saya tak perlu kutip hutang. Semua bayar tunai."
"Kedua , ayah berpesan. "KALAU BERNIAGA JANGAN KENA MATAHARI." Jadi saya keluar ke kedai waktu subuh. Lepas solat subuh, saya tidak tidur, terus ke kedai. Malam baru saya pulang ke rumah. Jadi, saya tak kena matahari."
—Moral of the story
Perbezaan MENTAFSIR sesuatu perkara menjadikan arah hidup yang berbeza. Kalau kita kata ibadah itu hanyalah di tikar sembahyang semata-mata,
nanti kita akan meninggalkan kewajipan mencari nafkah terhadap keluarga, kewajipan terhadap negara dan ummah keseluruhannya.
Jadi, belajarlah dari ramai guru, banyak membaca untuk tambahkan ilmu, minta اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى beri petunjuk, mohon اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى bimbing kehidupan kita, semoga اللّٰه memberikan taufik dan hidayah.
Mudah-mudahan, dengan kefahaman yang betul, kita di muliakan oleh اللّٰه di dunia dan di akhirat. Nabi صلى الله عليه وسلم pernah bersabda;
Siapa yang اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى mahukan kebaikan bagi dirinya, akan difahamkan padanya agama dengan sebenar-benar kefahaman

---- [salin tampal tamat di sini] ----

Keduanya, izinkan aku berkongsi nasihat yang aku dapat dari kisah ini. 

NASIHAT (1) Sebagai Ahli Perniagaan

Pada permulaan kisah diperihalkan Hassan Al-Basri seorang ahli perniagaan. Maka semestinya beliau seorang yang berpengalaman dalam menguruskan perniagaannya sehingga berjaya bahkan diwariskan secara berasingan kepada 2 orang anaknya. Maka beliau memberikan pesanan tentang 2 perkara (seperti mana kisah)

Aku setuju sangat! Seperti mana kisah itu disampaikan, secara kasar takrifan yang bermanfaat (untuk kepentingan perniagaan) lebih tepat ditunjukkan oleh si abang. Memang betul. Tapi tiba-tiba terlintas dalam kotak fikiran aku..

Kenapa Hassan Al-Basri 'berteka-teki' pula pada anak? Kenapa tak bagi pesanan yang lebih mudah difahami [contoh macam "KALAU BERNIAGA, JUAL SECARA TUNAI/ JANGAN 'BERI' HUTANG]? Risikonya anak boleh salah faham, maka terjadilah seperti kisah tersebut ada 2 kesudahan (berdasarkan takrifan masing-masing). Atau mungkinkah..... ada mesej lain yang tersembunyi???

Maka bila baca semula kisah tu hari ni, aku ternampak dari satu nasihat dari sisi yang berbeza..

NASIHAT (2) Sebagai Ulama'

Jangan KUTIP Hutang!!

Jangan "kutip" hutang?? 

Pada frasa tersebut sahaja, aku faham bahawa jangan MINTA hutang (sama macam kefahaman si adik: kalau orang nak bayar, bayar. Kalau orang tak nak bayar, jangan minta). Dengan kata lain, terhadap penghutang, tindakan yang kena dengan nasihat tersebut ialah (sama ada)

  • Hutang tersebut menjadi 'sedeqah' kepada mereka (dengan kata lain, dah dihalalkan) - satu kelebihan di AKHIRAT nanti yang mana pahala beri hutang (tanpa minta balik) bahkan lebih tinggi dari pahala sedeqah. Terdapat hadith..
 Pada malam ketika saya diisra'kan, saya melihat satu tulisan di pintu syurga '(pahala) sedeqah dilipat gandakan menjadi sepuluh (10) kali ganda sedangkan (pahala) pemberian hutang dilipat gandakan menjadi lapan belas (18) kali ganda' lalu saya bertanya: "Wahai Jibril, apa yang menyebabkan pemberian hutang lebih baik dari sedeqah?" Lalu Jibril menjawab;"kerana orang yang meminta (mendapat sedeqah) kadang-kadang memiliki (sesuatu yang diberi kepadanya) tetapi orang yang memberi pinjaman, pada dasarnya memberi sesuatu kerana benar-benar diperlukan" (Riwayat Ibnu Majah)
  • Kekalkan saja hutang yang ada. Jangan minta / jangan halalkan - kelebihan juga di AKHIRAT sana yang mana, penghutang menjadi saham / penanggung di akhirat nanti walaupun penghutang seorang syahid. [Oh ya, aku pernah tulis entri Hutang. Antara nasihat utama yang aku masih ingat tentang bahaya hutang ialah..]

Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia) - Riwayat Muslim 

Tak kira mana satu pilihan, pastinya akan mendapat ganjaran di akhirat. Jadi Hassan Al-Basri seorang ulama', BESAR KEMUNGKINAN dia memberi pesanan agar anaknya mengaut keuntungan akhirat melebihi keuntungan dunia.  

Cuba bayangkan, kalau kita tengah kritikal (nazak), antara pesanan yang kita MESTI ('WAJIB') beritahu kepada anak kita ialah tentang mencari keuntungan AKHIRAT (jangan tinggal solat dll). Tentulah ulama' juga tak terkecuali fikir macam tu..

Jadi si adik mungkin rugi di dunia, tapi di akhirat Allah lebih tahu..

--------- PASCA KREDIT ------

JANGAN KENA MATAHARI!

Setakat pemahaman yang ada, aku hanya faham nasihat tersebut seperti mana kisah yang diceritakan. Takpe simpan sini dulu, mana tahu baca balik umur 65 tahun aku nampak sesuatu yang berbeza ke..  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)