Kerja paling susah
Salah satu dari episod dari Siri Mina Mila (eksklusif di Durioo) yang membuat aku terkesan ialah "Ketua Pengarah Operasi"
Musim 1 Episod 23 berkenaan kembar Mila Mina sedang buat kerja kursus pembentangan tentang pekerjaan. Baba mencadangkan "Ketua Pengarah Operasi" yang disandang oleh Umi mereka - sinopsis aku buat sendiri
Iklan kejap - siri TV Mina Mila hanya boleh didapati di aplikasi Durioo sahaja setakat ini. Bagi menghormati hak cipta penghasil dan menghargai penat lelah mereka, maka aku memohon kepada yang berminat boleh langgan secara halal & sah melalui pautan berikut -> iklan rasmi aplikasi Durioo
Kenapa aku terkesan? Aku dapati episod ini membawakan mesej yang sedikit unik berbanding nasihat tipikal siri TV kanak-kanak.Ketua Pengarah Operasi
Aku setuju bidang tugas ni antara yang paling susah kalau nak dibandingkan dengan semua pekerjaan yang lain. Dah la susah nak buat.
Tempoh mula dari seawal bangun pagi, hinggalah malam.
Rehat ikut nasib.
Cuti tak rasa cuti langsung. Takde beza hari minggu dengan hari biasa. Apatah lagi cuti umum.
'Gaji' selalunya tak setimpal juga.
Perempuan la yang selalu dapat jawatan ini walaupun ada kerja hakiki yang lain.
Tapi menakjubkan arwah mak aku pikul tugas ini dengan rela. Begitu juga isteri aku. Satu peringatan buat aku untuk sentiasa menyanjungi mereka sebab sanggup laksanakan tanggungjawab ini
Amin.
Imam An-Nawawi pernah berkata berkenaan sebab musabab kenapa perlunya didahulukan berbakti kepada ibu bapa seperti mana hadis (aku tak kongsikan hadis tersebut dalam entri ini).
"Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusannya kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut" - (teks ini dipetik langsung dari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - Al-Kafi #1203 Mengapa Didahulukan Berbuat Baik Kepada Ibu Sebanyak 3 Kali)
Dalam pada sanjung-menyanjung ni, penting untuk kita (aku) sedar bahawa mereka adalah manusia. Ada hari naik dan turun. Sabar mendengar keluhan penat lelah dan sakit mereka dalam menghadapi hari-hari tersebut.
Dan sebagai sebahagian dari ahli keluarga, kita kena kurangkan beban mereka. Bantu mereka sebanyak yang boleh. Beri lebih rehat. Beri 'gaji' lebih (kalau mampu). Gembirakan mereka.
Terima kasih buat arwah mak kerana membesarkan aku sepenuh masa. Semoga Allah tempatkan dalam kalangan ahli syurga.
Terima kasih buat isteri kerana membesarkan Haniya sepenuh masa. Semoga Allah pertemukan kita semua di syurga yang sama.
Ulasan