Solat Fardhu 2 kali. Dah kenapa?!
Bismillah.. Terus masuk kepada pencetus penulisan kali ini;
Selesai mandi petang/malam hari, aku lantas bersiap dan terus solat maghrib sendirian. Selesai solat, aku disapa oleh isteri..
La, kenapa tak ajak solat sekali? - tanyanya
Bukan tengah period (haid) lagi ke? (nota - solat adalah haram bagi wanita yang sedang mengalami haid. Selalu dianggap sebagai 'hari cuti' jika wanita mengalami haid)
Dah habis dah. Dah boleh solat dah..
Takpe la kalau macam tu, saya solat sekali lagi je (kali ini berjemaah)
Mana boleh solat fardhu 2 kali..
Ye ke? Siapa cakap??
---
![]() |
kredit gambar di laman [Steemit.com] Imam just for fun meme |
Aku tak jumpa semula (penat mencari balik) versi di facebook, tapi setakat carian Google adalah seperti sisipan rajah diberi..Tentulah, fokus utama acah-acah tersebut adalah menyampaikan maksud tersirat kata pikat; iaitu pihak perempuan berhasrat agar pihak lelaki sudi 'memimpin' rumah tangga (sebagaimana seorang imam memimpin solat para makmum setia)
Tapi respon pihak lelaki dalam meme tersebut ternyata mencetus tanda tanya pada diri;
Kalau merujuk kepada situasi solat semata-mata, pernyataan SAYA DAH SOLAT seolah-olah menyatakan kita tak boleh solat sekali lagi?Dan aku rasa memang begitu juga dalam hari-hari kehidupan, dalam bab solat fardhu terutamanya, apabila diajak bersolat. Tentu adanya jawapan SAYA DAH SOLAT DAH..
Jadi, apa masalahnya solat sekali lagi? Tak boleh ke solat fardhu dua kali..? Kenapa kalau hal ibadah haji adanya orang boleh buat beberapa kali (yang mampu la) tanpa ragu-ragu..Fokus - Hukum Solat Fardhu 2 kali (dalam satu waktu solat yang sama)
sumber rujukan utama : (laman web rasmi) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - Hukum Mengulangi Solat Fardhu
Lepas baca-baca, aku dapat rumuskan bahawa:
- Hukumnya jadi #makruh (baca: sangat TIDAK digalakkan) sekiranya solat fardhu 2 kali tanpa sebab / keperluan
Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar RA:
لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ
Maksudnya: Janganlah kamu solat fardhu sebanyak dua kali dalam sehari.
Sunan Abi Dawud (579) dan Sunan al-Nasa’ie (860)
Aku faham. Kenapa?? sebab boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang lain tentang rukun islam. Terutamanya kepada golongan budak (baru nak belajar solat) atau bukan islam (tidak arif tentang islam tapi nak belajar tentang islam). Nanti keliru --> gelisah --> pemahaman yang salah tentang islam (lecehnya solat)
- hukumnya #sunat (baca: dituntut dan diberikan pahala jika lakukan, tiada masalah jika tidak) jika menepati situasi berikut:
- situasi (a) Solat kali ke-2 adalah bertujuan untuk membantu orang lain dapat pahala jemaah (bantu orang lain raih pahala solat jemaah 27 kali ganda, yang mana tinggal dia seorang sahaja belum solat)
Hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau meriwayatkan:أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلاً يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ " أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ "Maksudnya: Rasulullah SAW melihat seorang lelaki solat secara sendirian, maka Baginda bersabda: “Tidak adakah seseorang yang boleh bersedeqah (pahala) kepadanya, dan solat bersamanya?”Sunan Abi Dawud (574)
Terdapat juga hadith daripada Mu’az bin Jabal RA:كَانَ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّ قَوْمَهُMaksudnya: Beliau bersolat (Isya’) bersama Nabi SAW, kemudian pulang dan mengimamkan kaum beliau untuk solat Isya’.Sahih al-Bukhari (700)
"Aku faham dari Hadith Sahih Bukhari (700) ini, maksudnya, ibadah solat 4 rakaat tersebut adalah ibadah Isyak (yang telah menjadi hukum sunat sebab solat kali kedua)"
- situasi (b) Solat pertama solat seorang diri (1 pahala), tengok-tengok ada orang solat fardhu jemaah, maka nak turut serta untuk raih pahala jemaah
Ini berdasarkan hadith riwayat Jabir bin Yazid al-Aswadi RA:شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ " عَلَىَّ بِهِمَا " . فَأُتِيَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ " مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا " . قَالاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا . قَالَ " فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ "Maksudnya: Aku menghadiri solat Subuh bersama Rasulullah SAW di Masjid al-Khaif. Tatkala Baginda selesai solat, Baginda melihat dua orang lelaki di bahagian belakang yang tidak solat bersama Baginda. Baginda bersabda: “Mengapa kalian tidak solat bersama kami?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, kami telah solat di tempat permusafiran kami. “Jangan buat begitu. Jika kalian telah solat, dan kalian datang ke masjid dan mendapati solat jemaah sedang berlangsung, hendaklah kalian solat bersama mereka, dan ia akan menjadi solat sunat bagi kamu.Sunan al-Nasa’ie (858) dan Sunan Tirmidzi (219)
--- Salin tampal tamat ---
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;" (Surah Al-Baqarah 2:45)Namun aku akui, secara peribadi dalam kehidupan seharian memang aku kerap kali menghadapi situasi sedemikian di masjid / surau ketika waktu rehat tengah hari..
"Dah solat? Jom. Jemaah.."
"Dah solat dah, sila-sila.."Namun hakikatnya nilai solat fardhu yang 'sudah' tersebut adalah solo (1 pahala).
Allah dah hantar jemaah ajak solat (sekali lagi) supaya raih nilai pahala yang berganda..
Jom kita tambah pahala lepas ini, Jangan terlepas lagi..
Ulasan