Komen aku tentang [Wayang] Didi & Friends

Filem Didi & Friends The Movie dah keluar 23.2.2023! Disebabkan Didi & Friends secara umum ialah bertahap kanak-kanak toddler (sesuai dengan Haniya) tapi dijadikan filem agar sesuai dengan dewasa, kali ni aku ajak semua adik-beradik aku untuk tonton beramai-ramai..

Hehe, kali pertama outing ramai-ramai..

--- Ada apa dengan cerita Didi & Friends ini? ---

Didi & Friends ialah sebuah siri animasi CG pendidikan kanak-kanak. Pada peringkat awalnya siri ini berupa lagu-lagu kanak-kanak versi bahasa (Bapaku pulang dari kota, Semut berkawad, dll), kemudiannya dikembangkan menjadi siri kisah nasihat. 

Terbaru mereka melancarkan siri Didi Rescue Squad (2022) berkenaan Didi dan kawan-kawan dalam misi menyelamat kawan-kawan dalam pelbagai jenis kemalangan. 

Tapi buat julung kalinya pasukan produksi menghasilkan Filem Pengembaraan Tersendiri..
  
Beberapa isi (keypoint) penting sebelum tengok Movie - bagi penonton baru
  • Episod-episod terdahulu langsung tak menyumbang kepada babak dalam filem. Jadi boleh kata semua dalam filem adalah 'baru' kepada semua. Semua orang boleh tengok walaupun tak pernah tengok cerita didi
  • Ada banyak lagu dalam Didi & Friends
    • lagu setakat cameo - Oh rindunya, Joni Joni, A-E-I-O-U (diubahsuai), opening Didi & Friends (diubahsuai), Pak Atan ada Ladang (diubahsuai)
    • banyak lagu baru (eksklusif untuk wayang)
---


Komen peribadi tentang Didi & Friends the Movie
[Amaran - mungkin ada unsur 'pengacau' (spoiler) dalam penulisan ini jadi mohon tonton wayang dulu sebelum baca karangan ini][Tapi bahagian pengacau tu aku tuliskan kecil supaya pembaca tak terbaca secara sedar]

(0) Siapa aku nak komen tentang filem animasi ini?
- Aku mula ambil tahu pasal Didi & Friend setelah berkahwin. Ada anak buah. Anak buah tengok Didi & Friends. Jadi aku pun tahu juga la pasal Didi & Friends. Begitu juga sejak dah ada anak sendiri, Didi & Friends antara animasi melayu yang aku perkenalkan padanya. Aku sendiri bukan peminat tegar, tapi sebab ada anak, aku pun terikut juga (ye la, anak kan tengok ulang-ulang. Kalau aku tak tangkap juga episod penuh maksudnya aku tak acuh tentang media yang diberikan kepada anak-anak) 

- Aku hanya sekadar penonton biasa. Takde apa-apa pengalaman dalam dunia pembuatan animasi. Tapi aku minat filem animasi.
- Aku sukakan cerita tentang aksi & pengembaraan,
- Aku suka filem yang menerapkan nilai-nilai murni.
- Aku suka industri tempatan menerbitkan filem animasi sendiri. Jadi aku tertarik untuk tengok.. Dan aku juga seorang pengkarya dalam domain yang berbeza , jadi aku nak tengok dan belajar ilmu/idea mana-mana untuk terapkan dalam karya sendiri.

(1) Berapa pemarkahan (rating) peribadi filem animasi ini? 
- 9/10
"Kenapa bukan markah penuh?? ^-^! baca ulasan.."
(2) Adakah aku sudi untuk tonton lagi lain kali? 
- Berkemungkinan besar YA

(3) Kepada siapa aku akan cadang / rekomen untuk tengok filem ini?
- Anak-anak buah sendiri dan semua anak-anak muda generasi baru (namun, aku akan lebih selektif iaitu kepada mereka yang berusia 7 tahun ke atas). Maksudnya kalau budak tadika, aku rasa belum sampai masa lagi. Sebab tema utama cerita ini bukan untuk suka-suka / gelak-gelak. Tapi untuk dihadam dan diambil pengajaran mana yang dapat
- Rakyat Malaysia dewasa yang lain (sokonglah industri animasi tempatan ^-^!)

(4) Apakah yang aku nak ulas tentang filem animasi ini? (AWAS - terdapat 'pengacau' spoiler)
[Nota - aku cuba hadkan ulasan hanya mencakupi Movie sahaja. Tak termasuk TV siri]

---

Pertamanya tentang GRAFIK. Kalau nak bandingkan Filem ini dengan animasinya memang jauh beza dari segi grafik. Kalau musim satu dulu memang kotak-kotak, kaki tak sambung. Meningkat ke musim DRS memang semakin diperbaik. Tapi Filem ini memang tahap yang jauh lebih baik. Sebab terperinci sampai nampak bulu-bulu ayam..

Satu lagi grafik yang aku tertarik ialah masa Didi berangan-angan pengembaraan, kaedah penggambaran bukan guna CG tapi lukisan. Penceritaan dengan lukisan tersebut pun bagi aku dah sangat mantap sebelum Didi kembali ke realiti..
"Masa tengok babak ni, membuatkan aku terfikir gaya animasi "Pada Zaman Dahulu" menggunakan strok lukisan yang berbeza jika nak dibandingkan "Upin & Ipin" (pada dua-dua dari studio animasi yang sama)
--- 
Kedua, LATAR TEMPAT. Kali pertama semesta Didi & Friends memperkenalkan dunia mereka sendiri. Rumah Didi masih lagi tipikal, tapi latar Pekan Horey sangat baru bagi aku. Takleh komen banyak tapi gempak la.. 

---
Ketiganya, BABAK aksi & pertarungan. Secara keseluruhan Didi & Friends ni genre #kanak-kanak, aku boleh nampak babak aksi memang ringan sangat. Tak boleh ganas-ganas. Takde darah-darah / patah-patah semua.. Tapi bukanlah nak kata takde aksi langsung. Ada je Pak Atan jadi hero lawan penjahat..


---
GENRE. Aku rasa filem Didi & Friends nombor satu ia tekankan genre #kanak-kanak. Babak #aksi kejar mengejar & berlawan tu ada tapi minimum pada tahap budak je la. Juga termasuk kategori #muzikal sebab banyak selit-selit lagu pelbagai. 

Ada unsur #komedi oleh Didi, Pak Beruang dan Tok Chip. Bagi aku bahagian komedi masing-masing boleh diterima..
Didi di sebalik komedinya dia berusaha memperbaik keadaan / kesalahan yang dilakukan
Pak Beruang juga ada babak komedi kejar kapal udara Pak Atan, tapi aku rasa lega sikit sebab babak memaparkan rupanya Pak Beruang juga boleh diharap & berjaya melaksanakan tugasan.
Tok Chip ni punya lawak aku suka bahagian lawak yang ada cameo (Omar Hana, Tora dll)
Satu perkara tentang #bahasa yang digunakan, sentiasa menjadi dilema dalam diri kita sebagai penghasil karya. Kita nak cuba martabatkan bahasa melayu sebagai bahasa kita. Pada masa yang sama kita pula nak santaikan penggunaan umpama dialog harian baru fitrah (natural),  tapi timbul pula bentuk pendek (shortform), terkadang ada pula bahasa campuran (manglish). Dan ada pula istilah tak rasmi (contoh: poyo). Jadi, macam mana nak hadapi dilema ini..?? 
Mungkin aku setuju satu lagi iaitu genre #pengembaraan. Filem ini menunjukkan pengembaraan ke pulau lagenda terapung. Dari 3 sisi yang berbeza iaitu Pak Atan, Didi & Jojo, dan satu lagi Nana

----
Tentang penglibatan WATAK. Ada banyak watak dalam semesta Didi & friends ni.
    • Watak utama : Didi, Nana, Jojo, Pak Atan, Pak Beruang
    • Watak sekadar cameo: semua kawan-kawan Didi (Sofi, Mon, Bobot, Tia, Bingo, Tatak, Joni, Bangau, Abang Eddie, Abang Paan, Kak Hani, Roon, Boon, Encik Mon, Auntie Wendy, Pipi dll)
    • Watak yang takde langsung dalam ni: Bingo
    • Watak tambahan (baru): Kru Satria Zee (aku tak ingat nama masing-masing), Torra, Gita, Nek Kura, Tok Chip, Manet
ada beberapa perkara tentang watak yang aku ambil perhatian (bandingkan dengan kanun dalam siri TV)
  • Nana sebenarnya tak pernah dikaitkan dengan aktiviti melukis dalam siri animasi Didi. Sebalik yang pandai melukis ialah Happy Bear & Pipi (berapa ramai je kenal Happy Bear & Pipi?). Oleh sebab nak kena selitkan juga Nana masuk spotlight penting movie ini tiba-tiba dia pandai lukis. Takkan tiba-tiba happy bear/pipi pula ambil port?
  • Dalam siri animasi TV, Pak Beruang digambarkan sebagai watak biasa. Ada masanya dia menonjol tapi sebagai watak jahat (episod Nenek yang Besar), pembuli (episod kisah 3 cucu). Dan dalam konsert Didi & Friends Hora Horey yang pertama (2018), Pak Beruang diremehkan dan dibelakangkan (diketepikan) dari terlibat dalam konsert. Tapi dalam filem kali ni rupanya Pak Beruang bukan sekadar hanya babak komedi sahaja. Ada tanggungjawab yang dia boleh diharap juga rupanya.. 
  • Sama juga Pak Atan - secara umum Pak Atan ialah figura dewasa (adult figure) sekadar pengarah/penasihat dalam semesta Didi & Friends, tapi jarang-jarang nampak dia beraksi baris hadapan. 
  • Watak baru Tok Chip ni aku tak berapa ngam sangat dengan tagline poyo dia.. Tapi lawak nyanyuk dia tu best
(5) Kesimpulan tentang filem animasi ini?
Aku sangat menyukai filem ini! Antara animasi yang bagus dan mesti dikekalkan usaha.

(6) Rasa-rasa ada perkara yang boleh diperbaik lagi tak?
Isteri komplen watak lain tak masuk sangat dalam filem ini. (Contohnya Sofi si Arnab, Mon si Monyet dll). Bingo si kucing (barisan pertama Didi & Friends) pun tak ada berbanding yang lain-lain.

Tapi aku faham sangat kenapa.. Semua watak-watak tersebut itu hanya ada terkenal pada mata budak-budak sahaja. Aku rasa orang dewasa mana nak kenal kalau tiba-tiba watak Bobot, Tia, Kuek, Joni, Kimi, Roon mendominasi filem tersebut. Semua orang paling kenal pun setakat Didi, Jojo, Nana & Pak Atan. Jadi untuk tarik perhatian penonton dewasa dengan masukkan watak budak-budak ni takkan berjaya. Sebaliknya kena perkenal watak baru.

Didi, Jojo, Nana ni watak mewakil budak-budak. Takkan budak-budak je boleh bawa cerita ni. Tak boleh! kena ada watak dewasa sikit. Ha inilah sebab watak 'Pak Atan' & 'Pak Beruang' dimasukkan sekali.. (pak Beruang bukan watak utama Didi pun.. tapi terpilih sebab 'dewasa')

Nak buat satu lagi filem (kali ni melibatkan Didi dan kawan-kawan dia) tu rasanya satu cabaran yang susah nak berjaya... Sebabnya.. 
Penonton budak (toddler) hanya mampu ingat sikit-sikit (tak berupaya nak ingat semua watak).
Penonton budak (sekolah) baik tengok EjenAli Boboiboy Mechamato. sebab lebih aksi dan mengujakan..
Penonton dewasa lagi tak minat. Ramai je kawan-kawan aku yang tidur tengok filem ni. Tapi kata seronok sebab anak (Aku antara yang rare sebab tak tidur tengok Didi ^-^)

Apa-apapun syabas buat penerbit atas hasil yang baik ini.. Kalau betul jadi adanya movie kedua dan ketiga insyallah aku akan tonton..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)