Diari TTC

Bismillah. Ini adalah diari tentang TTC (try to conceive = cuba untuk hamil)
Nota - walaupun aku petugas kesihatan, tapi untuk kesenangan pemahaman pembaca, aku cuba kurangkan istilah-perubatan (medical jargon)

----- Sejarah & Riwayat -----

Sejak musibah yang lalu, aku & isteri masih tak ada rezeki untuk dapat zuriat baru. Sejak peristiwa tersebut, isteri memang ada temujanji doktor 'sakit puan' (gynae) di Hospital Umum Sarawak (HUS) .
  • Mulanya adalah PPC (postpartum clinic = klinik lepas bersalin) untuk siasat tentang kes yang lalu kalau-kalau ada faktor yang boleh dikesan (dan dirawat)
sumber dari https://euphoriawellnessmd.com/cannabis-for-pcos/
Saban masa berlalu, kemudian isteri dipindahkan ke klinik sakit puan umum (general), sebelum diketahui bahawa isteri mengidap 'syndrom PCO' (Polycystic Ovarian Syndrome = PCOS). Salah satu tanda utama PCOS ialah;
- kitar haid yang sangat kurang (kira sangat bernasib baik lagi kalau ada haid 4 kali setahun sebab ada yang lagi kurang dari itu) secara tak langsung mempengaruhi faktor kesuburan

Dalam usaha bantu untuk memulihkan kitaran haid, isteri diberi ubat hormon
  • PROVERA (Medroxyprogesterone) 5mg OD x5/7 - bulanan
Setelah beberapa lama, tukar pula kepada
  • DUPHASTON (Dydrogestrone) 5mg OD x 3/52 + rehat 1/52 - bulanan 
Dengan bantuan ubat, alhamdulillah isteri ada kitaran haid. Tapi ada sekali ketika temujanji doktor cuba berhenti ubat hormon tersebut dengan andaian (harapan) badan dah boleh berdikari untuk kitar haid sendiri. Tapi masih tak berjaya, sebab haid dah hilang lagi dan tak diketahui bila nak datang..

----- Prolog sebelum IUI -----

Sampai la satu masa, temujanji yang mana doktor dapati isteri tak mengandung pun. Maka akhirnya isteri dipindah ke klinik kesuburan (fertility clinic - masih dalam unit hospital yang sama) untuk susulan. Antara siasatan yang dijalankan termasuk
  • Ujian darah (blood test) : FBS (gula), FLP (kolestrol), TFT (thyroid), RP (buah pinggang), LFT (hati) , Serum Oestradiol/ Progesteron/LH/ FSH/Testosterone/Prolactin (ni semua ujian darah hormon khas)
Cabarannya, ada ujian darah kena buat ikut masa haid (misalnya ujian darah hormon kena tunggu haid dulu, lepas itu kira hari ke-21 baru ambil darah). Kalau bagi pesakit PCOS, mahunya kena tunggu haid dulu baru boleh dapat buat ujian darah. Kalau bernasib baik, bulan depan datang haid, lepas tu boleh la kira hari dan ambil darah terus..

Tapi tidak buat isteri. Tunggu dah 4 bulan masih tak datang haid lagi, sampai la kebetulan aku ada 'sesi pengajian ilmu' (CME = continuous medical education) kebetulan topik PCOS, maka aku bertanyakan kepada penceramah yang kebetulan doktor pakar tentang situasi yang berlaku, baru la aku dapat jawapan untuk terus ambil darah tanpa tunggu haid.

Jadi terus la buat ujian darah. Apabila dah siap keputusan darah, jumpa doktor (temujanji) untuk semakan. Seterusnya doktor pakar pelan buat HSG pula 
  • HSG (hystero-salphingo-gram) - Kaedah X-ray yang khusus untuk periksa salur peranakan wanita dan rahim wanita. Tujuannya nak tengok kalau-kalau ada faktor fizikal sebagai penghalang (contoh salur tersumbat/ salur terbelit / fibroid dll) 
Cabaran lagi! Nak buat HSG (atau sebarang radiasi pengimejan) bagi pesakit wanita kena tunggu haid dulu (sebab takut ada janin pula nanti terkena radiasi tahap tinggi jadi cacat). Nota - staf Xray memang takkan bagi muka / tolak ansur la walaupun alasan PCOS sebab tak nak bertanggungjawab apa-apa kalau berlaku kecacatan. Memang carakerja mereka begitu..

Tunggu haid la lagi 3 bulan masih tak dapat, akhirnya datang semula ke klinik minta pendapat. Lalu diberi bekalan ubat PROVERA (Medroxyprogesterone), Lepas beberapa hari makan dan berhenti, maka haid pun datang. Baru dapat buat HSG seperti yang dirancang.

Temujanji terakhir (sebelum bertukar arah) di HUS ialah 26.6.2019 yang mana kebetulan bertemu doktor pakar UNIMAS. Aku kenal doktor pakar ini (sebab doktor pakar yang sama beri ceramah CME dulu), dan tahu beliau mengendalikan klinik kesuburan ala swasta di UNIMAS. Maka aku berbincang untuk susulan (follow up) di UNIMAS sahaja. Masa ini isteri masih dibekalkan ubat hormon yang sama
  • DUPHASTON (Dydrogestrone) 5mg OD x 3/52 + rehat 1/52 
Maka akhirnya kami diberi temujanji di klinik UNIMAS pula.  

3.9.2019 - Appointment pertama di UNIMAS. Salah satu kelebihan kami berbanding pesakit lain ialah rekod kami di HUS boleh diteliti oleh doktor (sebab doktor yang sama) jadi tak perlu ulang semula ujian semua atau perlu minta surat dari HUS
  • Temujanji kali ini sebenarnya nak buat SFA (seminal fluid analisa = analisa air mani lelaki) untuk pastikan bukan faktor lelaki sebagai penghalang usaha untuk hamil
  • Aku dibawa masuk ke bilik khas mastubarium untuk keluarkan air mani ke dalam bekas.
  • Kemudian sampel dianalisa seperti kuantiti sperma serta pergerakan dan lain-lain parameter
"Alhamdulillah air mani aku takde masalah ^-^!" [nota - namun prestasi boleh berubah sebenarnya]
Seterusnya, doktor pakar berbincang sama ada nak teruskan kaedah bagaimana
  • Timed intercouse (TI) = persetubuhan terancang. Isteri makan ubat persiapan untuk mengandung, kemudiannya pasangan akan diberi arahan untuk melakukan persetubuhan pada tarikh tertentu (sendiri di rumah la). Kemudian periksa air kencing UPT dalam masa 2 minggu untuk tengok perkembangan
  • Intrauterine Insemination (IUI) = Persenyawaan yang mana air mani lelaki ditembakkan langsung ke dalam rahim melalui peralatan khas. Masih makan ubat persiapan yang sama
----- Persiapan untuk IUI (1st) -----

Kami bersetuju untuk terus langkau ke kaedah IUI. Jadi kami dibekalkan dengan ubat-ubatan hormon (persiapan). 
  • T.Letrozole 5mg OD x 5/7 (Hari ke-2 haid dan seterusnya selama 5 hari)
  • S/C F GONAL (follitropin alpha) 75IU OD x 4/7 (selepas habis ubat makan. Iaitu kira-kira hari ke-7 dan seterusnya selama 4 hari) - kena cucuk pada masa yang tetap. Kalau 7 pagi, kena cucuk 7 pagi je setiap hari..
*Nota - sebab aku kerja anggota kesihatan, maka staf yakin bahawa aku boleh cucukkan di rumah sahaja. Tak perlu datang klinik/hospital. Tapi mereka ajar semula sebagai ulangkaji.

Seperti mana arahan, kena tunggu haid lagi baru boleh mula ubat IUI. Kali ini aku tak resah menunggu sebab isteri sedang ikut jadual ubat hormon DUPHASTON (bantu kitar haid). Bila dah habis ubat, maka dijangka dalam 4 hari datang haid. Alhamdulillah.

Isteri datang haid 22.9.2019. 
Kena telefon klinik UNIMAS untuk tetapkan temujanji scan & IUI
Kemudian makan ubat seperti yang dirancang. 

Temujanji untuk scan diberi 2.10.2019
Tujuan temujanji ini adalah nak tengok perkembangan pesakit selepas diberi ubat persiapan. Doktor pakar yang sama buat TVS (transvaginal scan = scan rahim melalui laluan faraj). dari scan tersebut, tengok sel telur (follicle) ada satu dah membesar (ukuran 15mm) . Tak sampai sasaran >20mm. Sementara lapisan rahim pula dah cukup-cukup syarat saja (7mm). 

Doktor pakar ubah sikit pelan rawatan dan beri tarikh baru untuk prosedur IUI 
T PROGYNOVA (Oestradiol) 2mg TDS x 4/7
S/C F GONAL (follitropin alpha) 100IU OD x 3/7
S/C OVIDREL (choriogonadotropin alpha) 6500u - 36 jam sebelum IUI

----- 7.10.2019 Hari Prosedur IUI -----

Cuma doktor pakar yang selalu tu tak ada pula hari ini. Jadi tak berpeluang nak tengok scan, kalau-kalau lulus syarat untuk berjaya IUI atau tak. Namun, ada penggantinya doktor pelatih yang tolong buatkan prosedur IUI tersebut
  • Macam tempoh hari, aku kena masuk bilik mastubarium untuk keluarkan air mani dan simpan dalam bekas
  • Kemudian sampel air mani akan diproses dalam selama sejam. 
  • Lepas sejam baru la, prosedur IUI dilakukan
  • Isteri akan baru diatas katil, kemudian sample air mani akan ditembakkan ke dalam rahim (melalui tiub / peralatan khas)
  • Isteri diminta terus berbaring selama 30 minit. Aku memilih untuk teman isteri
Selepas itu, baru kami boleh pulang. Bayaran yang dikenakan untuk proses ini ialah RM300 (untuk IUI sahaja). Ketika pulang, terdapat beberapa tugasan tambahan untuk dilakukan
  • T. DUPHASTON (Dydrogestrone) 10mg TDS x 3/52 (ubat persiapan untuk tebalkan rahim). Kalau positif mengandung, habiskan ubat dan seterusnya uri akan ambil alih tugas bekalkan hormon.
  • Bersetubuh lagi di rumah 3 hari untuk meningkatkan lagi peratusan berjaya..
  • Periksa ujian air kencing (UPT) dalam masa 2 minggu untuk tengok keputusan 
----- 21.10.2019 Hari keputusan IUI -----

Isteri dah penat periksa UPT dulu-dulu, tak sanggup nak periksa (takut dikecewakan). Maka aku la yang tolong periksakan.
"Entah kenapa aku macam berharap pula. Semalaman (sebelum hari keputusan) aku tak lena tidur sebab guruh gementarkan keputusan ini.." - perasaan gementar sama macam sebelum aku tunggu keputusan peperiksaan supplement pengajian doktor dulu.. ^-^!"
Dan keputusannya ialah
.
..
...
....
.....
......
Negatif!

Secara jujurnya aku kecewa dengan keputusan tersebut. Walaupun masuk kerja masih dapat berikan terbaik buat pesakit lain, tapi ketika rehat sejenak atau rehat tengah hari aku memang tak ada mood nak melayari sosial media atau apa saja hobi aku. Takde mood dibuatnya.

Tapi ya la, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Aku tahu isteri juga berduka dengan keputusan yang ada. Memang kena pujuk juga sebelum masuk kerja tadi
"Bertabahlah wahai diri & isteri! Semua ini adalah takdir Allah. Semoga Allah ampunkan dosa kita, atau berikan sesuatu takdir yang lebih baik.." 
Teringat aku tak lama dulu, aku pernah sampai ke doa (ayat Al-Quran) Nabi Zakaria;
19:2 (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.
19:3 (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.
19:4 Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.
19:5 Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.
19:6 Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai".


---- Post kredit ---
"Hakikatnya memang bukan satu perkembangan yang menggembirakan tapi kena gerak ke hadapan. Sebab sekarang ni dah terputus 'jalan'. Ubat DUPHASTON dah tinggal sikit. Nanti ubat dah habis akan datang haid, tapi kalau takde apa-apa temujanji haid akan tamat lepas tu tak tau bila lagi.. susah nak pelan IUI atau apa-apa lagi.."
Esoknya, dalam keadaan berduka tersebut, isteri gagahkan juga maklumkan keputusan IUI kepada staf klinik UNIMAS. Dapat maklumbalas tentang langkah seterusnya..
  • Periksa semula UPT dalam seminggu lagi (28.10.2019)
  • Atau cuba IUI kali ke-2
Mana-mana pilihan langkah seterusnya pun, kena habiskan juga ubat DUPHASTON yang masih berbaki tu, dan tunggu haid lagi..
Tapi, aku macam masih lagi berharap.. Apakah takdir yang Allah dah tetapkan untuk kami..?? 
--- Percubaan kedua! Persiapan ---
Dapat input terbaru dari doktor pakar untuk teruskan percubaan kedua. tapi kena tunggu haid datang dulu baru mula..

27.10.2019 - Haid dah datang. Jadi seperti arahan, isteri kena makan ubat hormon pada hari kedua dan seterusnya.. kali ni ada sedikit perubahan pelan ubat
  • T.Letrozole 7.5mg OD (hari 2-6) - naik dos sikit nampaknya
  • S/C F GONAL (follitropin alpha) 75 UI OD (hari 7-10)
  • PROGYNOVA (Oestradiol) 2mg TDS (hari 8-12) 
  • S/C OVIDREL (choriogonadotropin alpha) 6500u - 36 jam sebelum IUI

Oh ya, aku pun kena makan ubat untuk perhebat lagi potensi sperma. Tapi kena beli sendiri di farmasi luar. Kena cari di Himalaya

oh ya bercakap tentang kos. setakat ini, kos perbelanjaan ialah

S/C F GONAL (follitropin alpha) = rm380 (satu pen berisi ubat 300 UI)
S/C OVIDREL (choriogonadotropin alpha)  = rm120 (satu suntikan)
TVS = rm30
IUI = rm300

--- 7.11.2019 Hari Prosedur IUI (2nd) ---
Sekali lagi, doktor pakar yang selalu tak ada. Doktor pelatih khas yang sama juga buat prosedur tersebut. Langkah-langkah semua sama dengan 7.10.2019 (percubaan pertama) jadi tak payah nak suruh ulang.
"Cuma kali ini, doktor pelatih tersebut berbincang dengan aku. Semasa pemprosesan air mani (sperma) didapati sebenarnya kualiti air mani aku tak bagus kali ini. Sama juga IUI kali pertama kualiti sperma tak bagus nak dibandingkan dengan masa pernilaian 3.9.2019 dulu.. Tapi prosedur IUI masih diteruskan juga, dengan harapan agar menjadi juga walaupun sedemikian.. Aku rasa hampa & hilang harapan..
Lepas itu, 2 minggu periksa ujian air kencing..

--- 21.11.2019 Hari keputusan IUI (2nd) ---

Isteri periksa sendiri (rajin dia periksa air kencing), aku dah hilang harapan selepas penjelasan doktor tempoh hari. Rasa bersalah juga pada isteri (sebab ada faktor suami juga rupanya). Awalnya diberi tempoh seminggu untuk periksa air kencing sekali lagi.

28.11.2019 kebetulan haid isteri pun datang. memang sah la tak berjaya mengandung..
Perkara dipanjangkan kepada jururawat & doktor terlibat. Isteri nak cuba lagi kali ke-3. Tapi doktor terlibat suruh berhenti usaha IUI (membazir). Tapi isteri nak juga..

--- Post Credit lagi ---

Kebetulan bulan 12 ni akan balik kampung bercuti lama, jadi tak dapat nak komited pula kalau buat IUI (3rd) pun. Jadi kami bersetuju 'rehat' dulu bulan 12. Sepanjang bulan ini, isteri ada la cari google tentang ikhtiar lain, sementara aku dah runsing kalau-kalau kena naik taraf IVF pula (kos mahal)..

Antara ikhtiar lain (tak pasti menyumbang atau tak, tapi cuba je)..
  • Aku makan supplement Speman serta Multivitamin 
  • Isteri cuba cara kampung
    • makan telur ayam kampung - masak separuh 
    • makan sesudu madu asli
    • doa
      • baca doa madu
      • baca surah At-Tin
      • selawat 
  • Solat berjemaah, ada juga doa Nabi Zakaria ditambahi doa yang dicari isteri.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)