Larian Virtual: Lebih & Kurangnya..

Bismillah.. Dah masuk bulan 4 dah ini. Sejak awal tahun ini, aku lebih giat dalam bersenam terutamanya dalam aktiviti jogging. Paling tidak, ada sedikit nostalgia kisah lama (baca entri lama jogging)  

Terdahulu kegiatan berjoging aku kepada penyertaan acara anjuran oleh organisasi luar (baca aku tulis Fun Run), sehinggalah aku diperkenalkan tentang larian virtual..

Apa tu Larian Virtual?
larian Virtual Pertama aku sertai (diambil dari FB Another Running Club)
Setakat yang aku faham Larian Virtual ialah satu acara larian maya (selalunya berbayar) yang dilancarkan oleh pertubuhan tertentu, larian melibatkan penggunaan aplikasi larian smartphone (untuk merekodkan jumlah jarak larian terkumpul) untuk tempoh satu masa tertentu.  Antara ciri utama larian ini ialah peserta..
- boleh lari di mana-mana saja ikut hati
- bebas memilih masa lari ikut kelapangan sendiri
- aktiviti lari perlu direkodkan dalam aplikasi smartphone dan dimuatnaikkan ke medium (biasanya aplikasi telefon) tertentu sebagai bukti larian
- hadiah penamat (berupa pingat dan/atau baju) akan diposkan ke alamat rumah setelah tempoh larian dah tamat.
"Maka sejak itu, aku lebih banyak menyertai acara larian virtual berbanding acara larian yang konvensional.. Kenapa?"
5 Kelebihan Larian Virtual berbanding (Acara) Larian 'Konvensional'


#1 Masa yang fleksibel
Acara larian konvensional diadakan pada masa yang tetap dan dirancang. Terkadang pada saat akhir kita ada hal peribadi yang penting, jadi terpaksa batalkan penyertaaan. Ada juga bila tiba harinya, cuaca pula tidak mengizinkan, maka acara terpaksa dibatalkan begitu saja. Sayangkan kalau jadi macam tu?

Berbeza dengan larian virtual, kita bebas untuk memilih masa larian kita. Biasanya larian virtual akan ada tempoh masa yang panjang (iaitu dalam lingkungan seminggu hingga sebulan, bergantung pada pihak penganjur) sebelum acara virtual tamat. Jadi peserta boleh sertai mengikut kelapangan masing-masing.
- Hari ini sibuk dan banyak kerja?? Boleh tangguh hari lain
- Pagi hujan? Lari petang atau malam pun boleh
- Hujung minggu (weekend) ada kursus? Boleh lari hari minggu (weekday) lepas balik kerja..

#2 Tempat yang fleksibel
Acara larian konvensional selalunya terhad kepada tempat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Selalunya tempat pilihan pihak penganjur ialah tempat daya tarikan popular seperti KLCC, padang merdeka, pusat membeli-belah yang besar. Tapi laluan larian selalunya tidak kondusif (iaitu sepanjang jalan raya). Walaupun adanya petugas yang bantu kawal lalu-lintas, namun aku dapati terdapat beberapa masalah;
- kena cari parking, terutamanya sesama peserta lain atau pengunjung tempat (bukan peserta)
- laluan jalan raya terdedah kepada asap kenderaaan (jangka panjang tidak baik untuk kesihatan).
Teringat aku pernah baca artikel [artikel] World of Buzz - Fit Woman Shockingly Diagnosed with Lung Cancer Despite Healthy Habit of Running
Sementara itu, dalam Larian virtual kita bebas pilih tempat kegemaran sendiri.
- Suka jogging kat taman kawasan rumah?? Sila-silakan jogging sana
- Tengah bercuti kat kampung tapi nak jogging?? Takde masalah
- Kawan ajak sertai jogging tempat baru?? Jom!
- Alamak hujan tapi nak lari? Jogging kat gimnasium pun boleh

#3 Latih Disiplin diri
Acara larian konvensional terhad kepada acara dalan sehari. Jadi bagi sebilangan peserta, mungkin hari tersebut adalah satu-satunya hari cergas berjogging dalam sebulan. Baki harinya tak bersukan langsung.

Namun, bagi larian virtual, peserta secara tak langsung memupuk disiplin diri. Sebab dalam sebulan tempoh larian, selalunya peserta perlu melengkapkan larian untuk satu jarak yang jauh (contohnya 50km), jadi kena gigih juga disiplin diri dan luang masa untuk berlari
"Misalnya kalau sehari lari 3km , jadi kena luangkan masa 17 hari untuk lengkapkan larian. Jadi sebenarnya kita dah berjaya untuk aktif banyak hari dalam sebulan. 
#4 Latih prestasi diri
saban hari semakin pantas
Bagi memulakan larian ini, kita perlu mengaktifkan aplikasi larian dalam smartphone (atau ada juga smartwatch dengan fungsi GPS), yang menariknya selepas tamat satu sesi, terdapat analisis tentang prestasi larian kita, mencakupi
- jumlah jarak yang diambil serta peta larian
- masa yang digunakan serta halaju
- serta beberapa analisis tambahan (yang mana aku tak berapa faham sangat)

Jadi dengan bantuan analisis ini, kita lebih peka kepada prestasi diri, secara langsung dapat memupuk daya maju diri agar berusaha lebih baik.

Larian virtual adalah satu applikasi sosial yang melibatkan penyertaan ramai, namun hakikatnya perlaksanaan larian adalah ikut masing-masing. Jadi kita tak nampak secara langsung sedang berlumba dengan siapa. Jadi tak perlu risau kalau sebarang usaha kita dibanding-bandingkan dengan pelari lain. Dan kesannya kita juga tak begitu lemah semangat melihat kehebatan orang lain.

Dengan demikian, kita hanya nampak kita sedang bersaing dengan diri sendiri, iaitu adakah kita dapat lakukan yang lebih baik dari semalam? Jadi kita akan latih diri dan sentiasa untuk maju diri.

#5 Lebih Mesra Alam
Larian amal (charity run) / larian hiburan (fun run) sebenarnya seronok, sebab itu merupakan aktiviti sukan & sosial. Kita boleh kenal dengan pelbagai peserta yang lain dan berkongsi hobi berlari ini. Namun, di sebalik aktiviti keramaian ini, juga terdapat beberapa implikasi negatif yang boleh timbul.

gambar hiasan diambil rawak
 "Aku yakin dalam setiap diri orang pasti sukakan kebersihan dan mempunyai kesedaran sivik untuk menjaga kebersihan. Namun, apabila dalam aktiviti sebegini pesalah gemar ambil kesempatan curi-curi buang sampah atau sambil lewa (sempena acara je ni, nanti ada la orang bersihkan). Gambar baru setakat di laluan larian, apatah pula di gerai-gerai air atau makanan usai berlari?? Terdapat pepatah Inggeris mengatakan; there are always going to be a few bad apples in a crowd

Dalam larian virtual juga tidak dinafikan, kalau perangai mazmumah tu ada memang ada terjadinya masalah ini juga tapi dalam skala yang lebih kecil. (kalau ada iman lebih mungkin malu nak buat sebab orang sekeliling akan nampak dan tegur)

---- 

3 Kekurangan Utama Acara Larian Virtual

Namun, aku setuju bahawa terdapat juga kekurangan pada larian virtual ini. Antaranya;

#1 Hadiah Penamat Dapat Lambat
Sangat ketara. Misalnya lari maya pada acara sepanjang bulan Januari, kemudiannya data larian diproses dan hadiah akan dipos ke alamat rumah pada bulan berikutnya (Februari).

Sementara, acara larian konvensioal serta merta dapat pingat sejurus melepasi garis penamat, jadi sedikit sebanyak terasa satu pencapaian yang sangat bermakna di situ.

#2 Kos bayaran boleh jadi lebih mahal
Kos bayaran untuk acara larian virtual boleh jadi lebih mahal dari acara larian konvensional walaupun jarak sama, barangan sama (aku faham mungkin ada kos tambahan sebab kena pos hadiah ke alamat setelah selesai)
"Tapi kalau pandai cari, ada je larian virtual yang PERCUMA sebenarnya (misalnya anjuran aplikasi 42Race boleh semak laman web 42Race). Namun, hadiahnya hanya sekadar pingat maya (tiada pingat fizikal)
#3 Tiada Suasana Meriah 
Acara larian virtual ini tiada suasana menarik; Tiada kata-kata aluan, tiada ucapan, tiada lagu-lagu, tiada gerai makanan, tiada pameran, tiada cabutan bertuah. Cuma sekadar larian atau jogging seperti mana rutin harian semata-mata. Jadi bagi sebilangan pelari yang lebih sukakan acara keramaian, larian virtual mungkin tidak sesuai menjadi pilihan.

-------

نامون سبنرڽ اڤ توجوان اكو نق برلاري اين؟ جوم كيت محاسبه ديري دولو: ادكه سكدر نق برسرونوك؟ اتاو ايڠين منجادي لبيه صيحة؟ اتاو سكدر ايكوت اورڠ لاءين سهاج؟ تڤوك دادا تاڽ هاتي

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)