[Jom Baca] Apa Lagi Cina Mahu...

Dah lama tak tulis tentang Jom Baca..
جوم باچ اداله ساتو سيکشين دالم بلوݢ اکو تنتڠ بوکو٢ يڠ اکو سبوت سڤنجڠ ٧ تاهون اکو توليس بلوݢ اين. ادا تاجوق بوکو سکدر سبوت٢ سهاج، دان ادا جوݢ ڤنوليسن تنتڠ ريۏيو بوکو. جمڤوتله تيڠوق سنديري
Antara azam tahun ini ialah membaca buku; kira-kira sebuah buku dalam sebulan. Kalau lebih banyak lebih bagus. Hanya terpakai kepada buku fizikal (sedangkan buku digital seperti eBook tak dikira, sebab bukan amalan aku baca buku digital)
"Baru-baru ini aku ada tonton video tazkirah oleh Firdaus Wong Wai Hung. Beliau adalah mualaf yang semakin aktif berdakwah & mengembangkan islam. Dengarnya beliau juga berguru dengan Dr Zakir Naik, pendakwah yang giat mengembangkan Islam.."
Jadi aku tertarik dengan cara penyampaian tazkirahnya. Kebetulan beliau ada menerbitkan buku, membuatkan aku berminat nak beli..
نامون اکو امبيل ماس لام سديکيت نق هابيس باچ بوکو اين سبب اد اونصور سجره يڠ باڽق، سڤاروه ايسي کندوڠن برکيسر سجاره چينا. ادوه، اکو لمبت سرڤ سيکيت علمو سجاره اين

Jadi memperkenalkan buku aku yang berikutnya (buku ke-6 bagi tahun 2019) ialah:

Apa Lagi Cina Mahu.. - Apa Yang Rakyat Malaysia Perlu Tahu Tentang Mereka

Penulis : Firdaus Wong Wai Hung
Penerbit : MRM Publication
Halaman : 242 (terdapat halaman bergambar hitam-putih & ilustrasi)

Deskripsi (kulit belakang)

Apa Lagi Cina Mahu...
  1. Orang Cina ini sebenarnya percaya apa?
  2. Kenapa orang Cina suka main mercun?
  3. Berapa banyak sebenarnya raya orang Cina?
  4. Apa yang orang Cina benci?
Ini antara soalan yang terjawab. Dan BANYAK lagi..

Markah (peribadi) : 3.5/ 5 (markah rendah sikit sebab aku tak suka topik sejarah ^-^!)

Komen 
Tajuk nampak macam provokasi sangat, tapi sebenarnya buku ini buku yang baik. Bukan bertujuan untuk menimbulkan pergaduhan antara kaum. Sebaliknya buku ini menerangkan sedikit sebanyak tentang sejarah & kepercayaan masyarakat Cina. Jadi oleh sebab, masyarakat Cina juga sebahagian dari rakyat Malaysia, mari kita belajar & ambil tahu tentang mereka.

Kalau nak kenal tentang perihal orang Cina, kenalah tanya dari orang Cina..
"Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui." (surah An-Nahl 16:43)  - juga terdapat mesej yang sama dalam surah Al-Anbiya' 21:7 
Jadi macam yang aku cakap tentang buku ini, banyak dari kandungan buku ini adalah berunsurkan sejarah
  • Asal-usul Bangsa Cina
  • Sejarah kehadiran bangsa Cina di Malaysia
  • Penjelasan agama Buddha, Konfusianisme, Daoisme
  • Sinkretism Kepercayaan Cina
  • Sinkretism Kepercayaan Agama Baru
  • Kepercayaan & Pantang Larang
  • Upacara keagamaan & adat masyarakat Cina
  • Perayaan Masyarakat Cina
 --- Sedikit perkongsian kandungan dalam buku tersebut [nota - sekadar salin dari buku halaman 9-11  (Bab Asal-usul Bangsa Cina)] ---

Selain dikenali sebagai keturunan Yan dan Huang, masyarakat Cina juga melambangkan diri mereka sebagai 'keturunan naga'. Metafora ini adalah satu perkara baru dan menjadi popular sejak 1970an

Malah terdapat kajian yang mengatakan simbol naga dalam tradisi kaum Cina ini adalah simbolik kepada sejarah kaum cina sekitar 6000 tahun dahulu. Kajian mendapati simbol naga itu berasal daripada kombinasi dari pelbagai totem atau simbol sembahan dari pelbagai haiwan yang dipuja oleh orang Cina pada suatu ketika dahulu

Setiap kabilah atau puak dari kalangan mereka, akan ada satu simbol atau bentuk sembahan dari haiwan-haiwan tertentu yang dianggap semangat yang menjaga alam. Ada puak yang menyembah totem harimau, lembu, ular, rusa, helang, kambing dan babi hutan.

Kemudian pada suatu hari setiap puak datang membuat keputusan untuk bergabung dan ingin menjadi satu puak yang besar. Mereka semua bersetuju akan tetapi mereka ada masalah dari sudut simbol puak manakah yang perlu untuk mereka sembah. Dari situ, setiap puak masing-masing mahu menjadikan simbol sembahan mereka sebagai sembahan utama. Akhir sekali, mereka membuat keputusan untuk menggabungkan kesemua simbol totem dari setiap puak dan menjadikan ia suatu haiwan yang berbadan panjang seperti ular, bersisik, berkaki helang, memiliki tanduk rusa dan mempunyai telinga lembu. Haiwan itu dinamakan naga. Setelah itu, kesemua puak mula menyembah naga dan bersatu atas totem tersebut.

macam tu rupanya asal usul reka bentuk naga mengikut kepercayaan cina

--- sesi salin semula tamat ---

Kesimpulan
Namun begitu, buku sekadar 200+ halaman ini memang benar tak cukup untuk menjelaskan lagi 100% perihal masyarakat Cina. Namun, ini salah satu buku permulaan yang baik bagi membuka mata & minda untuk mengenali tentang masyarakat Cina. Kalau sebelum ini, kita asyik suruh bangsa lain kenal bangsa Melayu, tapi jarang sekali kita nak kenal mereka pula. Apa salahnya kita cuba untuk mengenali mereka pula, seperti mana Firman Allah
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah Al-Hujurat 49:13)
Semoga dengan pemahaman yang baik, kita lebih harmoni dengan mereka.

--- Sampingan ---
Salah satu dari video yang menarik, mencetus minat aku beli buku tersebut.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)