Tapak Rafflesia Kg Begu

Baru ni, isteri terbaca di media [Facebook] Begu Heroes Guide tentang bunga pakma telah berkembang mekar sejak beberapa hari lalu. Oleh sebab itu, sekarang adalah masa yang sesuai untuk datang tengok dan bergambar..
اکو تق برکسمڤتن اونتوق تيڠوق بوڠا ڤکما لاݢي سبلوم اون. دولو ڤرنه اد کاون اجق داکي ݢونوڠ ݢاديڠ سمبيل تيڠوق بوڠا ترسبوت تاڤي اکو کبتولن باليق سمننجوڠ ڤولا. لڠسوڠ ترلڤس ڤلواڠ..
ڤتا تريڤ کالي اين
Maka kali ni, aku pun setuju untuk road trip lagi (tapi balik hari saja). Jarak perjalanan ada dalam lingkungan 49km dari bandar Kuching. Kalau tengok Google Maps, terdapat laluan jauh sikit tapi 'jalan besar'. sepanjang perjalan dari bandar ke destinasi, berkemungkinan akan melalui beberapa tempat daya tarikan lain (bergantung pada laluan)
  • Kalau guna jalan besar memintas Bandar Siburan --> boleh singgah Taman Buaya Jong (Jong's Crododile Farm)
  • Tapi kalau keluar simpang awal di Kota Padawan dan ambil 'jalan dalam' --> akan melalui Taman Negara Semenggoh
    • kalau jalan ini, terdapat persimpangan ke Pasar Sempadan Serikin (tapi arah yang berbeza dah ni)
Semakin menghampiri destinasi, ada beberapa lagi tempat daya tarikan yang kena jauh ke dalam lagi
"Jadi kalau nak rancang trip jalan-jalan ke kuching, mungkin boleh pertimbangkan beberapa destinasi tersebut. Alang-alang dah menghala arah yang sama.."
چاري ڤاڤن تندا اين بارو برهنتي کريتا
Fokus - Tapak Raflesia Kampung Begu
Seperti mana jangkaan GPS, perjalanan ambil masa sejam lebih. Sepanjang laluan 'jalan dalam', kena cari papan tanda (lihat gambar) untuk sampai ke destinasi. Tempat ni hanya mempunyai perhentian kecil di jalan tersebut (Muat 2 kereta sahaja parkir di bahu jalan).

Oh ya, tempat ini sekadar tapak untuk melihat bunga pakma sahaja. Jadi tiada sebarang aktiviti lain di sini. Datang dan bergambar. Tempoh masa aktiviti dalam 10-15 minit sahaja (itu pun sebab nak tunggu giliran bergambar).

Untuk melawat tempat ini, yang bagusnya tak perlu risaukan cuaca panas terik membahang. Sebab kita akan masuk hutan (jadi terlindung dari cahaya matahari).


Untuk pelawat luar, kena 'daftar' dulu iaitu berhubung (contact) dengan petugas dari Kampung Begu agar dibukakan pintu pagar dan ditunjukkan tapak bunga tersebut. Kalau boleh, buat temujanji awal dengan pihak supaya mereka boleh bersiap sedia tunggu ketibaan kita di sana.

Walk-in pun boleh saja, tapi nasihlah - Kalau sampai-sampai dah ada pelawat lain, takde masalah untuk dipersila masuk. Kalau takde orang, kena telefon dan tunggu kejap (nota - talian DIGI takde line kat sana, talian Unifi Mobile, Celcom boleh 2G saja)

Terdapat sedikit bayaran yang dikenakan;
  • Warga asing RM30 seorang
  • Warga tempatan RM5 seorang

Aku tak pasti warga tempatan merujuk kepada Sarawak sahaja atau seluruh Malaysia. Jadi memang aku dah siap-siap bawa duit lebih kalau-kalau dicaj warga asing. Namun, selepas berbual-bual akhirnya aku dan isteri dikenakan caj warga tempatan. Alhamdulillah

Dari jalan raya, lepas masuk dalam pagar kena jalan sikit dalam 5 minit perjalanan. Ada jalan titi yang elok & terpelihara. Terdapat juga kemudahan tandas bertutup di sini. Tapi aku tak perasan tentang lampu. Jadi bolehlah kalau ada kecemasan ke apa.
اکو راس چاج بايرن تادي ايت اونتوق توجوان ڤمليهاراءن دان ڤموليهاراءن تاڤق اين کوت، اݢر ترجاݢ دان سسواي اونتوق اورڠ داتڠ

Kemudian terdapat papan penerangan tentang bunga pakma ini juga. Maka aku di sini tulis semula dalam versi bahasa melayu (nak baca versi bahasa Inggeris boleh tengok gambar):

"Dikenali sebagai bunga terbesar di dunia, bunga Rafflesia ialah satu spesis tumbuhan luar biasa, dijumpai di Kampung Begu, Kampung Temurang dan Kampung Belimbing darul Islam di Padawan dan juga Taman Negara Gunung Gading di Lundu, Sarawak

Luar biasa, eksotic dan cantik, bunga Rafflesia ini merupakan satu kepuasan sebenar kepada sebilangan mereka yang begitu bertuah dapat melihatnya ketika merantau ke Asia Tenggara. Bunga Raflesia, yang terdapat di hutan hujan Asia Tenggara, ialah sejenis parasit yang tumbuh pada hanya pada sesuatu jenis dahan/tunggul. Tiada daun/ batang/ sebarang cara yang boleh dipercayai untuk mengkaji tumbuhan tersebut kerana bunganya tumbuh dari tunas selama 9 bulan kemudian berkembang mekar. Tempoh masa mekarnya hanya selama beberapa hari sebelum bunga ini layu dan mereput.

Apabila bunga yang besar ini berkembang mekar, ia mengeluarkan bau seperti daging reput untuk menarik perhatian serangga iaitu satu-satunya cara pembenihan
Penemuan bunga Rafflesia sebenarnya bermula sekitar 1800-an, dan nama Rafflesia dicedok daripada nama Stanford Raffle yang merupakan ketua ekspidisi di Asia Tenggara pada masa itu
Pada hari ni, tumbuhan ini dikelaskan sebagai tumbuhan spesis terpelihara di Sarawak dan di mana saja ia dijumpai.  "

kemudian ada jalan off-road pula 2-3 minit
Lepas tu, akan sampai ke tapak bunga tersebut. Kalau tak tunjuk, aku tak perasan bunga ada kat mana. 


بوليه برݢمبر دکت٢
--- Secara keseluruhan ---

Tempat ini adalah satu alternatif yang baik bagi sesiapa yang berminat nak tengok bunga Pakma tanpa mengharungi pendakian bukit / masuk hutan (jungle trekking) yang ketara. Tapi bagi yang meminati perjalanan yang lebih mencabar mungkin boleh cuba gunung Gading..

Cuma aktiviti ni bermusim, iaitu masa dia kembang saja boleh datang tengok. Lepas dia dah layu kena tunggu lama masa untuk kembang balik..

--- Pengumuman! ---
Dengan ini, halaman (page) Kembara dah dikemaskini. Jemputlah tengok..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)