Ujian Nikmat Buat 3 Orang Bani Israel

Semasa sesi tazkirah dengan isteri (selepas solat berjemaah maghrib), kami sampai ke satu kisah teladan;

Ujian Nikmat buat 3 Orang Bani Israel yang Buta, Botak, dan berpenyakit Kusta
"Macam pernah dengar dulu di sekolah atau mana-mana, tapi sekarang dah jumpa sebaiknya aku kongsi di blog sini juga supaya senang cari semula lain kali.."
Nota - macam selalu, aku salin semula kisah ini dalam gaya penulisan (pewarnaan skrip watak / perenggan) aku sendiri. Harap tidak ubah isi sebenar kisah ini.

--- Kisah Mula--- 

Dalam kitab Al-Sahihain, daripada Rasulullah s.a.w bahawa ada tiga orang dari Bani Israel yang masing-masingnya buta, botak dan berpenyakit Kusta yang mana Allah s.w.t hendak menguji mereka. Dengan itu, Allah mengirimkan Malaikat kepada mereka masing-masing..

Malaikat mendatangi orang yang botak lalu bertanya serta berkata,
"Apa yang anda inginkan?"
Dia menjawab, "Saya mahu rambut yang dapat menghiasi & memperindahkan kepala saya. Kerana manusia mencela dan menhinaku."
Maka diapun memohon kepada Allah supaya diberikan rambut. Dalam sekelip mata sahaja Allah mencantikkan kepalanya yang botak dengan tumbuhnya rambut yang cantik.
Malaikat bertanya lagi kepada si botak, "Anugerah apa yang kamu inginkan?"
Si botak meminta, "Unta".
Maka dengan izin Allah ketika itu juga dia diberi unta dan kepadanya beranak-pinak sehingga memenuhi bukit-bukit dan lembah-lembah.


Kemudian Malaikat datang pula kepada orang yang berpenyakit Kusta dan berkata,
"Apa yang kamu inginkan?"
Jawab si kusta, "Saya berharap daripada Allah agar memperindahkan dan mencantikkan kulit saya serta sembuh dari kecacatan ini."
Lantas ia memohon kepada Allah dengan sekelip mata, apa yang dihajatinya telah dimakbulkan.
Maka malaikat bertanya lagi, "Apa yang kamu inginkan lagi?"
Jawab si kusta; "Saya inginkan lembu"
Dan dengan serta-merta dia dikurniakan lembu yang beranak-pinak sehingga memenuhi bukit

Kemudian malaikat mendatangi pula orang yang buta, lalu bertanya,
"Apa yang kamu harapkan daripada Allah?"
Maka jawab si buta, "Agar Allah mengembalikan penglihatan kepadanya."
Lalu Malaikat berdoa dan dengan serta-merta, si buta pun sembuh dan dapat melihat. Selanjutnya malaikat bertanya lagi,
"Apa lagi yang kamu inginkan?"
Si buta yang telak celik ini menjawab, "Kambing"
Lalu Allah mengurniakan kambing kepadanya dengan tidak disangka beranak-pinak sehingga memenuhi bukit.

--- Masa berlalu ---

Malaikat kali ini menyerupai fakir miskin dan bertemu dengan si botak lalu berkata,
"Aku seorang fakir dan miskin yang tiada ahli keluarga untuk bergantung nasib. Aku cuma mampu berdoa kepada Allah dan mengharapkan daripadamu agar diberi sebahagian hartamu."
Maka si botak berkata, "Aku mempunyai banyak tanggungan dan harta didapati secara keturunan dan tidak dapat diberikan kepada si fakir yang miskin ini."
Lalu malaikat bertanya, "Bukankah kamu dulu seorang yang botak dan miskin?"
Si botak menjawab dengan angkuh, "Oh tidak, harta ini adalah harta warisan turun-temurun keluargaku."
Maka malaikat berkata, "Sekiranya kamu menipu, maka Allah akan kembalikan kamu kepada keadaan asalmu."
Maka sekelip itu juga Allah mencabut kembali nikmatnya yang dipinjamkan, maka kembalilah si botak kepada keadaan asal. Kemudian Malaikat bertemu pula dengan si Kusta dan berkata,
"Aku seorang fakir dan miskin yang tiada ahli keluarga untuk bergantung nasib. Aku cuma mampu berdoa kepada Allah dan mengharapkan daripadamu agar diberi sebahagian hartamu."
Si kusta menjawab, "Aku tidak ada apa yang hendak diberikan kerana aku banyak tanggungan dan ini adalah harta keturunanku."
"Bukankah kamu dulu miskin dan berpenyakit kusta?"
"Oh tidak, aku memang keturunan kaya"
"Jika sekiranya kamu menipu, kamu akan kembali seperti asalmu."
Dengan izin Allah, segala nikmat yang dipinjamkan ditarik semula, maka kembalilah si kusta kepada keadaan asalnya yang miskin dan cacat.

Masa terus berlalu, si buta dahulunya merupakan seorang yang taat dan yakin dengan kekuasaan Allah. Dia merupakan hamba yang mengakui nikmat-nikmat kurniaan Allah, maka dia sentiasa bersyukur kepadaNya. Tetapi emas, perak dan kekayaan dunia hampir menjadikannya lupa kepada Allah. Pada suatu hari dia tidur lalu bermimpi.
Dalam mimpinya, datangnya seorang tua yang ingin membeli penglihatannya dengan 100 ribu dinar. Tetapi dia menolak. Lelaki tua kemudian menawarkan satu persatu anggota badannya dan setiap satu hendak digantikan dengan 100 ribu dinar, maka si buta terus terjaga dari lenanya lantas menangis dan berkata; "BagiMu segala puji wahai Tuhanku."
Tidak lama selepas itu, maka datang orang miskin (Malaikat) kepada si buta lalu berkata orang miskin ini,
"Aku seorang fakir dan miskin yang tiada ahli keluarga untuk bergantung nasib. Aku cuma mampu berdoa kepada Allah dan mengharapkan daripadamu agar diberi sebahagian hartamu."
Lantas si buta berkata, "Sedangkan aku dahulu seorang yang buta, lalu Allah memberi nikmat penglihatan kepadaku, aku juga miskin lalu Allah mencukupkan aku dengan kekayaan yang dikurniakannya. Maka demi Allah, aku tidak akan meminta balasan dari apa yang engkau ambil dari hartaku dan aku tidak akan mengejimu dengan apa yang engkau tinggalkan."
Lantas si miskin memperkenalkan dirinya dengan berkata, "Aku adalah Malaikat yang datang dari langit dan aku menyampaikan padamu bahawa Allah telah redha terhadapmu, sementara Allah telah murka terhadapa kedua-dua sahabatmu yang dulu.

--- Kisah Tamat ---

Dari buku bacaan kami tadi tak disebut hadith jadi aku tak berapa pasti tentang sama ada ini hadith atau kisah teladan (tapi ada sandaran Rasulullah s.a.w serta kitab sahihain cuma tak dinyatakan siapa perawinya.. Namun, cari-cari di perkongsian internet ada yang menyatakan ini hadith riwayat Bukhari (rujuk sini --> [Blogspot] Labirinblog - Kisah 3 Orang Bani Israel)

Pengajaran dari kisah ini? Setakat yang aku faham la, betapa ujian nikmat dunia seringkali menyesatkan manusia sesat dari jalan kebenaran. Walaupun dahulunya mengalami kepayahan / kesusahan, bila Allah selamatkan dari kehinaan, terus lantang pula kufur nikmat Allah..
"Eleh, dorang tu memang kafir & bodoh memang la jadi macam tu. kalau kena kat aku mesti berakhir dengan baik.." - kata-kata seorang yang rasa diri lebih baik dari mereka..
Yakinkah macam tu.. Pernah dengar cerita harut & marut tak? Malaikat yang gagal jadi manusia. Susah jadi manusia ni? Tapi kalau ikut panduan yang betul, insya-Allah darjat manusia itu sangat tinggi dan terpuji..

Jom muhasabah

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)