Komen aku tentang [Wayang] Ejen Ali The Movie (Misi: Neo)

Filem Ejen Ali dah keluar 28.11.2019! Kali ini aku proaktif untuk tengok Ejen Ali awal-awal, tapi takde la terdesak sangat sampaikan hari pertama keluar terus nak tengok, tahan-tahan la juga sampai hari Sabtu baru tengok (Sabtu ada promosi tiket murah ^-^!)

Sedikit ulang kaji tentang ringkasan kisah Ejen Ali setakat ini..:

--- Apakah halnya dengan cerita Ejen Ali ini? ---

Ejen Ali mengisahkan tentang seorang budak 12-tahun bernama Ali, secara tanpa sengaja telah terlibat dalam konflik antara agensi rahsia MATA vs kumpulan musuh UNO (yang mana ketika musuh sedang menghantarkan alat (gadget) istimewa IRIS sesama ahli mereka,  salah faham berlaku dan IRIS telah jatuh ke tangan Ali). Situasi semakin rumit apabila Ali mengaktifkan gadget tersebut dan program alat tersebut tidak dapat dipisahkan daripada Ali)

Maka sejak itu, Ali direkrut masuk sebagai ejen MATA untuk jalankan misi. Jadi di sebalik menjalani kehidupan sebagai seorang murid sekolah, dia juga terlibat dalam menjalankan misi. Tapi Ali masih mentah dan sering melakukan kesilapan, maka beberapa ejen telah ditugas untuk melatih dan membantunya dalam misi Ali. Antaranya termasuklah pakciknya (Ejen Bakar), rakan sekelasnya (Ejen Alicia) dan Ejen Ridzuan [musim 1]

Banyak peristiwa terjadi dalam menjalankan misi, termasuk pertembungan mereka dengan kumpulan musuh, menyebabkan kemudiannya Ejen Ali & Alicia dihantar untuk menjalani latihan intensif di akademi mata bersama-sama ejen muda yang lain, dipantau khas oleh ejen pelbagai veteran. [musim 2]

Setakat ini, Animasi Ejen Ali dah sampai sejumlah 26 episod
Musim 1: Episod 1-13
Musim 2: Episod 1-13

Beberapa isi (keypoint) penting sebelum tengok Movie - bagi penonton baru
  • Ali mempunyai alat istimewa IRIS dengan kebolehan menganalisa pelbagai kemungkinan dan situasi serta menyediakan penyelesaian (tapi penggunaan banyak menghabiskan tenaga pengguna). alat IRIS hanya khas untuk orang yang mengaktifkan sahaja (orang lain tak boleh guna)
  • Kebolehan tertinggi IRIS ialah Override Mode iaitu mampu mengawal semua sistem komputer berhampiran sesuka hati, serta mempunyai kekuatan luar biasa (Tapi setakat ini, Ali masih tak dapat kawal cara nak aktifkan. Hanya terjadi apabila Ali ditimpa bahaya)
  • Ali telah menyelamatkan seekor kucing ujikaji yang istimewa (Comot) berkebolehan bertukar warna/halimunan (invisible), lalu membelanya (salah satu episod musim 1)
  • Ketika belajar akademi MATA, Ali mencipta alat ATLAS untuk kegunaan agen-agen yang lain agar maklumat analisa IRIS dapat dikongsi bersama pengguna ATLAS (salah satu episod musim 2)
--- Sinopsis Ejen Ali The Movie (aku salin tampal dari laman web wayang) yang diterjemahkan ---
"Ejen Ali yang berumur 12 memainkan peranan sebagai perisik setelah secara tak sengaja direkrut oleh agensi rahsia MATA. Tanpa pengetahuannya, MATA telah membangunkan hasil ciptaan Ali (alat ATLAS) untuk naiktaraf alat IRIS menjadi IRIS Neo. Apabila alatan baru IRIS Neo mula diuji-cuba sebagai kelengkapan piawai untuk semua ejen MATA, Ali mula meragui kepentingan dirinya dalam agensi MATA. Tambahan pula, dia bertaruhkan kesetiaannya pada MATA untuk membongkarkan beberapa perhubungan misteri, setelah dia didekati oleh seseorang  penyangak yang mendakwa dia mempunyai maklumat tentang seseorang yang rapat dengan Ali.."  
---

Ok, sinopsis kali ini tidak begitu rahsia sangat. Jadi ideanya, Ali dikhabarkan kehilangan emaknya sejak kecil dulu (kononnya meninggal sebab jatuh sakit). Setakat pengakhiran musim 2, ada ura-ura menyatakan emak Ejen Ali adalah seorang ejen hebat suatu masa lalu. Jadi Movie kali ini mungkin akan menjelaskan lagi tentang emak Ali. Cuma, aku tak dapat bayang lagi konflik yang mungkin berlaku dalam filem ini.. Jom tengok iklan acah ini dulu!


[nota - video klip ini hanya panas badan je ^-^! tak termasuk dalam wayang sebenar]

Komen peribadi tentang Ejen Ali the Movie (Misi: Neo)
[Amaran - mungkin ada unsur 'pengacau' (spoiler) dalam penulisan ini jadi mohon tonton wayang dulu sebelum baca karangan ini][Tapi bahagian pengacau tu aku tuliskan kecil supaya pembaca tak terbaca tanpa sedar]

Seperti mana gaya aku tulis komen wayang upin ipin (baca entri Komen Aku Tentang [Wayang] Upin Ipin Keris Siamang Tunggal), sebaiknya aku tulis dalam bentuk soal jawab hendaknya isi hujah aku sampai..

(0) Siapa aku nak komen tentang filem animasi ini?
- Khasnya, aku meminati animasi Ejen Ali sejak awal siaran lagi (baca penulisan aku Animasi M'sia (5))Semua episod Ejen Ali aku ikuti. Bahkan dah marathon balik ulangkaji kisah Ejen Ali sebelum terbitan Movie kali ini (paling kurang sekali). Jadi semestinya aku ingin ambil tahu misi terbaru Ejen Ali

- Aku hanya sekadar penonton biasa. Takde apa-apa pengalaman dalam dunia pembuatan animasi. Tapi aku minat filem animasi.
- Aku sukakan cerita tentang aksi & pengembaraan,
- Aku suka filem yang menerapkan nilai-nilai murni.

-Aku suka industri tempatan menerbitkan filem animasi sendiri. Jadi aku tertarik untuk tengok.. Dan aku juga seorang pengkarya dalam domain yang berbeza , jadi aku nak tengok dan belajar ilmu/idea mana-mana untuk terapkan dalam karya sendiri.

(1) Berapa pemarkahan (rating) peribadi filem animasi ini? 
- 9.5/10

(2) Adakah aku sudi untuk tonton lagi lain kali? 
- Berkemungkinan besar YA
- Aku dah tengok 2 kali dah pun

(3) Kepada siapa aku akan cadang / rekomen untuk tengok filem ini?
- Kawan-kawan yang minat filem aksi / pengembaraan
- Anak-anak buah sendiri dan semua anak-anak muda generasi baru (namun, aku akan lebih selektif iaitu kepada mereka yang berusia 7 tahun ke atas). Maksudnya kalau budak tadika, aku rasa belum sampai masa lagi. Sebab tema utama cerita ini bukan untuk suka-suka / gelak-gelak. Tapi untuk dihadam dan diambil pengajaran mana yang dapat
- Rakyat Malaysia dewasa yang lain  (sokonglah industri animasi tempatan ^-^!)

(4) Apakah yang aku nak ulas tentang filem animasi ini? (AWAS - terdapat 'pengacau' spoiler)
[Nota - aku cuba hadkan ulasan hanya mencakupi Movie sahaja. Tak termasuk episod-episod bersiri yang lalu]

---

Pertamanya tentang GRAFIK, aku tak nampak perbezaan ketara dengan grafik piawai episod bersirinya, jadi tak dapat nak komen lebih. Sejak terbitan episod pertama aku dah cukup kagum dengan GRAFIK yang dipersembahkan. (Misalnya kalau Boboiboy kualiti grafik nampak ketara semakin gempakberbanding episod terdahulu) 

--- 
Kedua, LATAR. Animasi Ejen Ali berlatarkan di bandaraya berteknologi tinggi Cyberaya. Dan ini tak berubah. Namun, dalam movie, dikhususkan kawasan baru yang takde dalam episod bersiri (Jadi kalau tak pernah tonton episod dulu pun tak apa sangat)
"Baru la aku faham kenapa poster Ejen Ali The Movie takde gambar kawan-kawan akademi. Rupanya mereka berada di tempat yang berbeza rupanya.."
---
Ketiganya, MUZIK. Err, aku tak perasan tentang muzik sangat sebab tak spesifik. Tapi ada sisipan LAGU baru bersempena Movie ini iaitu "Kita Jaga Kita" dan "Bukalah Matamu". Kedua-dua lagu promosi tersebut bagi aku biasa saja. Tapi masa alunan lagu sangat kena dengan mesej yang ingin disampaikan. Tapi ada satu lagi lagu "Mama" yang berkesan sangat pada aku & isteri, sampai kami rasa sebak dan menangis tak tahan dengan babak yang ditunjukkan, dua kali.. (SPOILER! - lagu yang sedih dimainkan ketika Ali bersedih maknya dah tak ada)

---
Keempat, BABAK aksi & pertarungan. Aku takde prejudis sangat nak kata babak-babak ada tiru filem Avenger ke apa ke. Malah aku kagum betapa setiap watak mempunyai gaya serangan tersendiri. (SPOILER - Ada watak guna gasing, ada guna tali (macam tali pinggang), ada sut baju dengan fungsi serangan bunyi, ada sarung tangan, ada bumerang). Pelbagai! Tak la nampak bosan sangat..

---
GENRE. Yang paling best ialah Ejen Ali lebih utama dalam genre #aksi. Aku sangat setuju sangat ada animasi kategori ini. Oh ya, aku rasa juga dikategorikan #kanak-kanak, sebab usia Ali selaku murid sekolah rendah 12 tahun. Juga takde punya adegan ganas-ganas (berdarah-darah / potong badan ke apa)..  Bagaimana #Komedi?? Ada la sikit, yang bestnya bukan jenis komedi yang krik-krik atau perosak suasana, dan juga tidak disampaikan secara berlebihan. 
"Bukan tak boleh nak jenaka komedi, cuma biar sesuai masanya, tak salah pun (macam cerita ini). Bila suasana santai, kita santai. Kalau suasana serius kita serius, baru ngam"
Mungkin aku setuju satu lagi iaitu genre #thriller. Movie ini mempunyai unsur permainan minda (mind game), membuatkan penonton selalu tertanya-tanya siapa baik siapa jahat sebenarnya. Kejap-kejap bekerjasama sesama geng, kejap lawan sesama sendiri, kejap-kejap pindah kumpulan, kejap-kejap memberontak lagi sesama sendiri pula..
"Ketika kita rasa dah yakin jalan cerita tipikal sangat, tiba-tiba ada putar-plot pula.. (Kalau dalam episod bersiri, persoalan ini akan meleret-leret sepanjang musim..)"
--- Amaran! kalau aku tulis kecil mungkin SPOILER!! ---

Dari aspek PLOT, movie kali ini adalah kesinambungan dari Episod 13 (Musim 2). Jadi, penonton kali pertama mungkin tak tahu/keliru sikit tentang ejen-ejen MATA serta kelebihan masing-masing dikelaskan mengikut warna seragam (Merah, Kuning, Putih, Biru - oh baru aku perasan itu warna bendera Malaysia. Patut la hijau takde). Tapi tak penting sangat pun, masih boleh ikuti cerita.
Movie ini mempunyai 'backstory' baru tentang misi bersejarah agen veteran MATA (Zain, Djin, Dayang, Ganz), serta perkembangan terbaru tentang keluarga Ali (emaknya bernama Aliya, seorang agen MATA)..  
Sepeti dalam episod bersiri, wayang ini juga mempunyai unsur #thriller tersendiri, iaitu pihak MATA berdepan dengan pihak pentadbir Cyberaya dan pihak penduduk di kawasan pinggiran. Setiap satu pihak mempunyai sisi yang berbeza. Jadi sepanjang perkembangan cerita, penonton akan tertanya-tanya siapakah penjahat sebenar cerita ini..

Seterusnya, wayang kali ini menekan persoalan: perhubungan antara anak dan ibu. Ini boleh dilihat dari babak Victor & emaknya Puan Ong yang mesra membuatkan Ali rindu pada mak sendiri. Serta ada babak Ali tengok sedutan video ketika kecilnya bersama emak. Pada pengakhiran cerita terdapat babak emaknya juga yang begitu menghibakan.

Lagi, dari wayang ini boleh nampak watak Ejen Ali sudah semakin cekap dalam melaksanakan misi berbanding dengan episod bersiri dulu yang mana dia sangat mentah dan sering melakukan kesilapan. Cuma dia masih kekal lalai dan tidak bersedia ketika berhadapan dengan perkara baru (misalnya semasa dibawa ke ibu pejabat MATA), tapi dia sudah mampu bertindak dan berlawan secara sendirian.
"Filem ini menggambarkan pengalaman dan pengetahuan yang semakin berkembang membuatkan betapa seseorang semakin matang dalam jati diri. Sama macam Naruto, dahulunya seorang yang bermasalah, perlahan-lahan semakin matang dan mampu memikul tanggungjawab. Sementara itu, sebilangan filem yang lain, mereka sentiasa membawa watak dengan perwatakan yang sama dari dulu sampai sekarang.." 
--- 
Ada unsur ISLAMIK iaitu mak Ejen Ali bernama Aliya, dengan pakaian seragam menutup Aurat penuh dalam semua babak yang ditunjukkan. Juga terdapat watak Ejen Iman (takde dalam movie ini) juga bertudung & berbahasa sopan. Sangat terbaik!

---
Penglibatan WATAK? Juga terdapat penglibatan penglibatan Watak (walaupun tak semua tapi paling tidak pun, ada acah-acah penampilan dalam babak)
  • Watak utama - Ali, Bakar, Alicia, Comot
  • Watak sampingan - Victor, Puan Ong (baru, emak Victor), Mamak Maju, semua ejen muda & veteran MATA. Trio pembangun Cyberaya (Dr Tiong, Dr Ghazali, Dr Mala), Dos
  • Watak Baru - Ejen Fit, Ejen Bobby, Nikki, Andik, Surya, Dato Osman, Vikram, Aliya
  • Tak muncul? - murid sekolah SK Cyberaya (cikgu Munah dan kawan-kawan sekolah). Kumpulan musuh UNO (kecuali Dos saja muncul pasca kredit), Kejiranan di rumah Ali (Auntie Fathi)
(5) Kesimpulan tentang filem animasi ini?
Aku sangat menyukai filem ini! Terbaik. Bahkan secara keseluruhan animasi ini memang menjadi animasi (Malaysia) kegemaran aku!

(6) Rasa-rasa ada perkara yang boleh diperbaik lagi tak?
Aku tak pasti. Setakat ini, aku sangat berpuas hati dan teruja dengan animasi Ejen Ali ni! Masih terdapat banyak lubang plot (plot hole) yang belum diisi, seolah-olah menunggu episod mendatang yang akan jelaskan lagi.. Dari wayang sahaja ada beberapa;
  • Penjahat Abang Bear berurusan dengan seorang makcik Cina (aku tak ingat nama) dengan senjata 'kipas kertas'. Tapi takde pertarungan melibatkan dia. (aku tak ingat pernah ada tak makcik ini dulu-dulu). Mungkin ada peranan satu masa nanti
  • Masa perbalahan Ali sesama agen MATA, kelihatan orang awam telah ambil video untuk tujuan tular --> identifi Ali sebagai agen terbongkar?? Agaknya apa jadi ye?
  • Akhirnya IRIS berjaya dipisahkan daripada Ali, dan Ali kali ini berjaya pulangkan IRIS --> Isi utama potensi Ali disebabkan IRIS sudah tiada. Apa jadi lepas ini? --> Ada babak pasca-kredit tentang projek baru bernama SATRIA..
  • Satu lagi babak pasca kredit, iaitu agen Ridzuan dan musuh Dos sedang menyiasat Ali --> masih ada lagi kumpulan musuh UNO ni ke?
  • Kisah tentang Alicia rupanya, dia juga anak yatim piatu --> apa yang terjadi..

Dan banyak lagi tanda tanya dari episod bersiri juga. Aku yakin pasti ada sambungannya lagi. Tak sabar nak tunggu musim baru keluar..

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
salam bang
nak tanya apa tajuk lagu yg dinyanyikn mak ali?
syedzran berkata…
Salam.. erm, saya pun tak pasti..
masa kredit ada keluar senarai nama lagu..
tapi tak perasan sebab asyik fikir babak pasca-kredit..
syedzran berkata…
dah tahu dah..
nama lagu "Mama" producer ida rahayu
Tanpa Nama berkata…
Salam bang. Bini sy tny nape ejen Aliya masuk MATA tinggalkan Niki Lupe terus pinggiran? Mcm acah baik pulak hadirkan Niki dendam. Baru tgk td. Tq bang
Tanpa Nama berkata…
Salam bang. Bini sy tny nape ejen Aliya masuk MATA tinggalkan Niki Lupe terus pinggiran? Mcm acah baik pulak sebabkan Niki dendam. Baru tgk td. Tq bang
syedzran berkata…
isu persoalan yang menarik: saya tidak mewakili pihak penerbit/pereka animasi Ali, jadi jawapan saya hanya sekadar andaian semata-mata:

1) dalam babak imbas kembali Aliya-Nikki di pelabuhan mendapatkan jantung sintetik mak yah, pada akhir babak tersebut nampak Nikki berjaya meloloskan diri sementara Aliya 'ditangkap' (direkrut) oleh ejen MATA. Aliya tak perasan Nikki tengah perhatikan mereka

2) mungkin ada plot hole yang mana MATA beri syarat TAK benarkan Aliya berhubung balik dengan Nikki atau organisasi pinggiran. membuatkan dia terpaksa lupakan kawasan pinggiran termasuk Nikki sekali

3) perjuangan Aliya-Nikki di pinggiran dahulu adalah lebih kepada tak nak bagi kawasan pinggiran diambil/diceroboh. Juga nak tolong naik taraf kawasan pinggiran tanpa bantuan cyberaya. Jadi dalam babak sebab itu, Aliya gunakan kepakaran engineering semua guna peralatan yang ada di pinggiran (tak bawa barang cyberaya pun. Berbeza dengan Ali & lain2 yang mana, mereka datang bawa barang). Dengan kata lain, ALiya bantu pinggiran pun senyap2 sehingga bakar pun tak tahu

4) Lepas Aliya masuk MATA, Aliya berharap agar kawasan pinggiran boleh berdikari sendiri oleh Nikki (tak pasti ada hujah mengatakan Aliya menegah sebab aktiviti pencerobohan pinggiran). Tapi Aliya lawan hanya mempertahankan apabila pinggiran menyerang kawasan bandar,,

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)