[JomBaca] Pengantar 'Ilmu Jawi

Bersempena musim Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF 2020) awal Julai lalu, banyak je kedai buku mempromosikan jualan buku masing-masing. Kebetulan terjumpa syarikat Akademi Jawi Malaysia dengan promosi bukunya. 

Disebabkan aku agak cenderung ke arah memperkasakan Tulisan Jawi semula, tentulah tertarik nak dalami ilmu tentang Jawi..

Jadi buku kelima tahun ini ialah..

Pengantar 'Ilmu Jawi (علمو جاوي)


Penulis
Kang Kyoung Seok
  • Seorang pengkaji jawi dari Korea Selatan
  • Menjawat jawatan profesor di Busan Unversity of Foreign Studies (BUFS) 1982-2015. 
  • Beliau merupakan graduan sarjana (Tesis: perkembangan Tulisan Jawi dalam masyarakat Melayu 1987) dan doktor falsafah (Tesis: gaya bahasa sejarah Melayu, sulalat Salatin 1992) daripada akademi Pengajian Melayu, UM yang kedua-duanya ditulis dalam Jawi. 
  • Pernah menjadi profesor pelawat di Centre for Korean Studies di North Park University, Chicago, Amerika Syarikat 1995-1997 dan Centre for Southest Asia Studies, Cornell University 2001-2002. 
  • Dari tahun 2010 hingga 2013, beliau menjadi tenaga pengajar jawi di Universiti Pendidikan Sultan Idris. 
  • Atas kepakarannya sebagai penyelidik jawi. Dato' Awang Sariyan, ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengurniakan sijil penghargaan kepadanya pada tahun 2013
Muhammad Syukri Rosli
  • Penyelidik bebas yang mengasas dan mentadbir sebuah syarikat yang bernama Klasika Media (giat membangunkan khidmat pembangunan kefasihan jawi, merangkumi penerbitan, pelatihan dan perundingan)
  • Mengetuai gerakan kebudayaan jawi di bawah pertubuhan Akademi Jawi Malaysia.
  • Menerajui projek perumian dan pengarkiban digital majalah Qalam dengan Centre for Integrated Area Studies (CIAS), Kyoto University, Jepun 2011-2015 dan projek perumian dan pendigitalan jawi dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia di bawah Geran Industri Kreatif 2012-2013
  • Giat bersama pasukannya menjalankan bengkel kefasihan dan perumian jawi di peringkat pengajian tinggi
  • Kini seorang penuntut sarjana di pusat penajian tinggi islam, sains dan peradaban (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia
Penerbit    : Klasika Media, Akademi Jawi Malaysia

Bil halaman/ muka surat: 95 (tapi isi kandungan utama setakat 72 halaman sahaja)

--- Deskripsi (kulit belakang) ---

Pengantar Ilmu Jawi membahathkan perihal sejarah, falsafah, rupa, aturan dan perkembangan bentuk ejaan Jawi warithan. Tujuan utamanya adalahuntuk menjadikan Jawi sebagai satu 'ilmu alat yang menyeluruh bagi membuka rahsia khazanah persuratan Melayu dengan menjelaskan dasar-dasar kebudayaan Jawi. Pengantar Ilmu Jawi akan menjadi 'ilmu asas bagi soerang penuntut yang ingin mengkaji dan menyelidiki persuratan Melayu yang terkandung dalam khazanah naskhah Jawi

Markah (peribadi) : 5/5

Komen (peribadi)
Pada permulaan nak beli buku ni, aku tak dapat sebarang idea pun buku ni tentang apa. Laman web hanya memaparkan kulit buku. Takde acah-acah isi di dalam, kulit buku pun ringkas & bernada serius). Tapi cuba juga la beli sebab minat Jawi.

Dan lepas beli, memang benar jangkaan aku - Buku ini serius. Tiada hal santai atau gambar hiasan untuk menceriakan suasana. Tapi aku tetap tertarik pada ilmu yang disampaikan. Satu malam tak lekang buku terus habis dah baca. Aku rasa akan berulang-ulang balik untuk rujuk buku ni. 

Walaupun buku ini hanya "edisi ringkas", banyak aku belajar dari buku ni. Tentang sejarahnya, tatabahasanya, dan paling penting kesedaran untuk mengekalkan budaya tulisan jawi ni... 

Buku ini membincangkan...
  • Ringkasan sejarah jawi & falsafahnya - termasuk asal untuk kewujudan huruf bukan arab:  ڠ، ݢ، ڤ، ڽ، چ (hanya khas dalam bahasa Jawi)
Dan dakwaan sebilangan kumpulan anti-jawi itu bukanlah tidak berasas. Memang Jawi asalnya adalah pengaruh besar dari Bahasa Arab Al-Quran. Tak dinafikan bahawa Al-Quran terkenal dengan seluhur-luhur bahasa bahkan menduduki setinggi-tinggi ukuran bahasa. Logiklah bahasa Melayu nak cedok yang terbaik.
  • Kaedah-kaedah umum ejaan Jawi (tatabahasa)
    • kaedah hafalan - cedok 100% ejaan Arab (contoh اسلام, وقت) atau perkataan bukan arab tapi ejaan warisan memang macam tu (contoh کيت، اين، دي، جک) dan ada senarai panjang lagi..
    • Huruf sebagai imbuhan awal "se-" (س) , "di-" (د), "ke-" (ک
    • Huruf sebagai imbuhan awal "me-" (م) , "pe-" (ڤ)
    • Perkataan akhir yang diakhiri bunyi "a" (ejaan jawi berhuruf ١)
      • hanya ejaan akhir دا، -را، -لا، -ڠا،  -وا- sahaja huruf alif kekal di belakang.
      • selain 5 huruf tersebut, ejaan yang lain-lain tak perlu alif di belakang ساي، مان، باڤ
    • (ada banyak lagi tentang tatabahasa ejaan ni ^-^! tak tertulis sini nanti jadi buku pula)
Semua tatabahasa yang tersebut sebenarnya pernah belajar masa di sekolah dulu, cuma penjelasan lengkap baru diterangkan dalam buku ni. Masa sekolah cikgu selalu kata 'memang ejaan macam tu, ikut je la..' 
  • Tinjauan ringkas evolusi tulisan jawi
membentangkan tentang bagaimana penulisan jawi pada permulaannya hasil pengaruh tulisan arab semakin beransur-ansur bertukar membentuk identiti sendiri melalui penambahan huruf (vokal) saksi (seperti mana yang kita sedia belajar sekarang ni) 
  • Jawi dari Warisan ke Wawasan
  • Kandungan bonus - lampiran senarai perkataan arab-Jawi (ada banyak)


----coretan tentang buku dah tamat di sini ---

Baru-baru ni, Alhamdulillah menteri agama sekali lagi mengumumkan hari Jumaat sebagai hari perkasa Jawi. Tapi aku harap ramai orang Malaysia ambil serius tentang kepentingan jawi sebagai warisan bangsa. 

Batu bersurat dah bertapak di Terengganu seawal 1303M, maksudnya dah 700 tahun lebih tulisan jawi di Bumi Malaysia. Tapi menjelang abad ke-20, bahasa Melayu (Jawi) telah diganti sepenuhnya oleh tulisan Rumi, yang akhirnya menggugat kefasihan anak bangsa sekarang terhadap khazanah persuratan Jawi yang terdahulu.

 کبتولن اکو سدڠ مرنچڠ اونتوق بوات کوميک جاوي تاڤي نمڤقڽ کنا اولڠکاجي جاوي لاݢي.. 

Bahkan anak muda lebih giat berbahasa rojak, pada setiap status facebook yang aku lihat semestinya bercampur baur Melayu Inggeris. (ya, aku pun sama - bila aku baca semula penulisan blog waktu awal-awal dulu, memang terpedaya dengan trend semasa tersebut. Tapi insya-allah kini tidak lagi. Bahasa Melayu aku cakap bahasa Melayu penuh, bahasa inggeris aku cakap bahasa inggeris penuh. ini cara aku nak bangunkan dua-dua bahasa..)
 -----

Ada banyak buku yang aku boleh rekomenkan kepada anda sekalian.. Tengok sini -- > JOM BACA! 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)