Nak jadi Helang atau Itik
Layari Facebook terjumpa lagi satu siaran nasihat yang menarik.
Tapi untuk entri Blog ini aku terjemah secara sendiri (bukan AI) supaya lebih eksklusif. (siaran asal boleh klik sini untuk rujukan --> [post Facebook] Booked by Mystic Venus)
--
Saya berada di lapangan terbang ketika seorang pemandu teksi menghampiri saya. Pertama-tama saya perasan dalam teksinya itu ada satu frasa, lantas saya membacanya;
"Itik atau Helang? Anda yang Tentukan"
Keduanya, saya perasan bahawa:
- Keadaan teksi itu bersih berkilat
- Pemandu yang berpakaian serba kemas berbaju putih dan berseluar rapi dan siap tali leher lagi.
Pemandu teksi keluar, membukakan pintu penumpang untuk saya dan berkata
"Nama saya John, pemandu awak. Sementara saya memasukkan bagasi anda ke dalam, saya bersukacita jika anda dapat baca kad ini berkenaan apa sebenarnya misi saya.
Pada kad, tertera misi John iaitu;
"Menghantar klien ke destinasi yang dituju dengan pantas dan jimat di samping memberikan suasana yang ramah mesra"
Saya berada kagum. Keadaan dalaman teksi itu bersih sama rata.
John bertanya, "Anda ingin minum kopi?"
Saya berseloroh membalas, "Tidak, saya lebih gemarkan minum jus"
Lantas dia membalas, "Tiada masalah, saya ada termos berisi jus biasa, jus diet, dan air kosong"
Lagi dia berkata, "kalau anda ingin membaca, saya ada surat khabar hari ini dan beberapa majalah"
Saat memulakan perjalanan, John memberitahu saya, "ini ialah beberapa siaran radio yang saya ada, dan ini ialah himpunan lagu yang mereka mainkan."
Tak cukup dengan itu, John malah bertanya sama ada suhu pendingin hawa itu sesuai atau tidak"
Kemudiannya dia memberitahu apa laluan terbaik ke destinasi saya. Dan sama ada saya ingin berbual dengannya atau lebih gemar tidak diganggu.
Saya bertanya, "Adakah anda selalu memberikan perkhidmatan sebegini kepada pelanggan anda?"
"Tidak", balasnya.
"Tidak selalu. Cuma sejak dua tahun terbaru ini saya buat begini. Beberapa tahun pertama saya kerja pemandu teksi, saya habiskan banyak masa mengeluh bising sepertimana pemandu teksi yang lain"
Suatu hari, saya mendengar seorang doktor yang pakar dalam bidang pembangunan diri. Dia menulis satu buku bertajuk : Diri Anda yang Memberikan Perbezaan!
Katanya: jika anda bangun pada pagi hari dan merasakan pengalaman hari ini akan teruk, pastinya anda akan mengalaminya.
Jangan jadi seperti Itik!
Jadilah seperti helang!
Itik hanya berbuat bising dan mengeluh, helang pula terbang tinggi melebihi yang lain.
Selama ini saya hanya kecoh membuat bising dan mengeluh. Jadi saya membuat keputusan untuk mengubah sikap saya dan menjadi seekor helang.
Saya merenung ke arah teksi-teksi lain dan pemandu mereka. Teksi yang kotor, perangai pemandu yang tidak ramah serta kesannya pelanggan yang tidak berpuas hati. Jadi saya tekad untuk membuat beberapa perubahan.
Ekoran dari tu, pelanggan saya memberi respon yang baik, maka saya cuba membuat semakin banyak perubahan. Pada tahun pertama sebagai helang, saya mengganda duakan pendapatan saya. Tahun ini, pendapatan saya bahkan berganda empat
Anda bertuah kerana anda menerima khidmat teksi saya hari ini. Selalunya teksi saya tidak lagi berada di perhentian. Pelanggan-pelanggan saya telah menempah melalui panggilan telefon atau mesej nombor saya. Sekiranya saya tidak dapat menjawab, saya akan amanahkan kepada kawan pemandu teksi "helang" untuk lakukan tugas tersebut.
John ternyata berbeza. Dia memberikan layanan setaraf limosine dalam teksi biasa. John, pemandu teksi, tekad untuk berhenti berbuat bising dan riuh sepertimana itik dan terbang tinggi menjangkaui semua seperti mana helang
---
Tak kira anda kerja di pejabat, atau selenggara, guru, penjawat awam, ahli politik, eksekutif, pekerja biasa, pekerja bebas atau pemandu teksi.
Bagaimana kelakuan anda?
Adakah anda hanya mampu terus riuh dan mengeluh? Atau anda meningkatkan martabat diri anda melebihi yang lain?
Ingatlah: KEPUTUSAN DI TANGAN ANDA!
---
Ulasan