Harvest Moon: Back to Nature [PS]

Catatan kemaskini
3.3.2019 - tulis komen yang lebih panjang lebar tentang game tersebut

--- blog, mula! ---

Hmm.. Gaji Ogos dah digunakan beli handphone baru.. Walaupun masih berbaki positif sebelum gaji September, namun aku perlu berhati-hati agar tak berbelanja boros lagi.. ^-^! maka, banyak hari rehat aku telah diluangkan dengan berehat saja di rumah. Nasib baik la ada game untuk dimainkan..

Logo Rasmi siri game ini
Harvest Moon (HM) adalah game dari genre simulasi kehidupan terbitan syarikat Natsume. Game ini bertemakan alam pertanian dan perternakan. Terdapat banyak siri keluaran mencakupi pelbagai platform (konsol) game, namun plot utama masih lebih kurang sama - iaitu pemain diberi satu tempoh masa untuk mengusahakan satu ladang yang sudah terbengkalai menjadi satu ladang yang hidup dan meriah.

Seperti yang aku kata, game ini terdapat beberapa keluaran game ini, boleh semak semuanya di laman web berikut -> [Wikia] Senarai Semua Game Harvest Moon.

PENGAKUAN - Oleh kerana, aku hanya bermain secara santai sahaja, maka pengalaman aku dan siri Harvest Moon tidak begitu menyeluruh. Aku tak begitu pasti bagaimana & apa perbezaan terperinci bagi setiap terbitan game Harvest Moon.
"Sekadar untuk tujuan nostalgia, dalam banyak-banyak siri Harvest Moon. Apakah siri yang paling disukai? Sila ulas.. 
Maka jawapan aku ialah..

Harvest Moon: Back To Nature [PS] atau beberapa variasi dengan latar yang sama

Jom saksi video permulaan game tersebut (oh ya, skrip game ini perlahan ^-^!)


Kalau malas nak tengok video 5 minit tersebut. Plot game kali ini ialah;
"Watak utama (lelaki) datang ke ladang terbiar milik datuknya suatu masa lalu, diperihalkan setelah datuk meninggal tiada lagi sesiapa yang menguruskan ladang tersebut. Jadi watak utama dibawa oleh ketua pekan untuk menguruskan ladang tersebut dalam masa 3 tahun. Kalau berjaya uruskan dalam tempoh masa tersebut, watak utama diakui & diterima sebagai waris sah ladang tersebut.."
Jadi objektif utama game ini ialah - mengusahakan semula ladang terbiar menjadi ladang yang terbaik. (Sebenarnya tidak dijelaskan bagaimana dan apa kriteria untuk berjaya, tapi aku rasa la)
  • Mengusahakan ladang dengan pelbagai jenis tanaman (sayuran/buah, bunga-bungaan dan rumput)
  • Menternak haiwan (ayam, lembu, biri-biri)
  • Ramah dengan penduduk yang lain diterima menjadi sebahagian daripada mereka
Sepanjang mendiami di kawasan ladang tersebut, terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan;
  • Naik taraf binaan (rumah, reban ayam, kandang) untuk tingkatkan produksi
  • Naik taraf peralatan berkebun agar lebih produktif dan kondusif (mudah buat kerja pertanian)
  • Menjelajah lombong untuk galian berharga
  • Memasak (ni sekadar suka-suka dan menambat hati penduduk)
  • Menyertai pesta & perayaan sepanjang tahun
  • Berkahwin dengan salah seorang gadis 
"Kalau diperhatikan adegan permulaan tadi, terdapat kenangan melibatkan satu gadis misteri dalam memori watak utama (disebabkan paparan versi kenangan (bukan warna asal)), secara tak langsung menimbulkan satu plot twist tentang siapakah identiti sebenarnya perempuan tersebut..?"
Komen peribadi - Apa yang buat aku tertarik tentang siri yang ini berbanding pelbagai siri yang lain ialah;

#1 Kepelbagaian variasi tempat jelajah (dekat)
Terdapat banyak kawasan yang boleh dijelajah sejak permulaan game lagi. Puncak bukit, Hutan, Kolam Air Panas, Lombong galian (ada 2 yang berbeza dengan galian yang berbeza), kawasan bandar, dan pantai. Jarak antara masing-masing dengan ladang masih dianggap boleh tahan.
Mencakupi pelbagai suasana (bandar / gunung / hutan / laut). Jadi pemain sekali sekala nak merasa pergi bandar maka turunlah ke bandar, kalau nak rasa suasana laut boleh pergi pantai dan sebagainya..
Nota - sebagai perbandingan siri HM yang lain. Siri pertama HM tidak mempunyai laut, sedangkan siri HM Sunshine Island terlalu banyak pendedahan pulau (laut) dan abaikan suasana bandar/gunung..

#2 Peristiwa rawak sesama watak
Terdapat beberapa peristiwa rawak dalam game ini, yang membuatkan adanya interaksi dengan pelbagai watak. Tidak terhad kepada calon gadis semata-mata, boleh jadi mana-mana watak dalam game (satu peluang untuk menambah keakraban terhadap penduduk). Boleh dikatakan setiap watak akan ada peristiwa tersendiri (bila kena syaratnya). Antara contoh;
  • Pada bulan (musim) luruh (Autumn), pemilik kebun anggur Duke menawarkan kerja sambilan di kebunnya selama seminggu. Pemain boleh ambil kesempatan mengajak kawan Cliff untuk kerja bersama (boleh tambah keakraban sesama semua watak terlibat)
  • Juga terdapat peristiwa tanaman bunga telah menarik perhatian lebah (lalu lebah membuat sarang di pohon berhampiran). Jadi kalau bagi madu lebah kepada watak Louis si pengkaji lebah, nanti akan wujud satu babak penemuan spesis lebah yang berharga.
  • Penternak Barley datang memberi tawaran untuk menjaga kuda selama setahun (tempoh game). Kalau lulus, dia sangat gembira dan hadiahkan kuda tersebut
#3 Tamadun kuno (yang realistik)
Berlatarkan masyarakat yang masih tradisional. Walaupun adanya perabot asas seperti TV dan peti sejuk. Namun, pemain masih perlu berhubung dengan dunia luar melalui surat dan telefon meja (tu pun, telefon hanya terdapat di rumah tumpangan/restoran)
  • Tengok TV saluran beli-belah pada hari sabtu, kemudian kalau nak beli kena pesan melalui panggilan telefon (tapi kena tunggu 3 hari baru pesanan sampai)
Juga terdapat kepercayaan mistik seperti wujudnya Kappa & Dewi Pertanian (Harvest Goddess), tapi tak lebih dari itu. Takde juga kepercayaan yang melampau-lampau (yang bagi aku agak mengarut) 

#4 Jenis sayuran / ternakan yang cukup-cukup pelbagai
Game ini antara keluaran HM yang terawal, kepelbagaian yang ada aku rasa cukup-cukup (tak terlampau banyak, dan tak juga kurang)
  • Bunga-bungaan ada 4 jenis 
  • Sayuran ada 5 jenis bagi setiap musim (yang mana hanya 3 jenis sahaja yang ada pada permulaan, jadi pemain kena ikhtiar untuk dapatkan tambahan pilihan)
  • Haiwan ternakan ada 3 jenis
Sebagai perbandingan, HM keluaran baru lebih menambah kepelbagaian, yang mana bagi aku macam tak menang tangan pula ^-^!

#5 Pesta / Perayaan
Game ini menawarkan pelbagai pesta / perayaan yang seronok.
  • Ada perayaan sekadar menabah riang-ria (macam Fireworks, New Year, Starry Night).
  • Ada pesta berupa pertandingan seronok-seronok (perang tomato, Cooking, berenang). 
  • Ada pertandingan haiwan peliharaan (lumba Anjing & lumba Kuda)
  • Ada pertandingan haiwan ternakan (ayam, lembu & biri-biri) - Yang menariknya pemenang akan menghasilkan produk kualiti emas (jualan lebih mahal)
----
Jadi demikianlah beberapa faktor yang menyebabkan aku suka HM: Back to Nature. Game ini terdapat juga beberapa variasi berbeza (tapi masih latar dan watak yang sama)
  • Harvest Moon: Friends of Mineral Town [GBA]
  • Harvest Moon: More friends of Mineral Town [GBA]
  • Harvest Moon Boy & Girl [versi remake di PSP]
  • Harvest Moon 64 (versi asal)
Menarik untuk dimainkan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)