Kalaulah...

Entri kali ni adalah berkenaan adegan di tempat kerjaku pada (tarikh) hari ni: Kelihatan seorang pesakit wanita dalam linkungan 74 tahun baru saja didapati mengidap penyakit kanser di usus Sigmoid. keputusan CT TAP (thoracic-abdomen-pelvis) menunjukkan penyakit kanser tersebut masih di peringkat awal (iaitu tidak melibatkan mana-mana organ lain), maka doktor pakar memberikan beberapa pilihan rawatan pesakit tersebut. Disebabkan umur pesakit yang lanjut, maka pendapat ahli keluarga yang lain diperlukan sebelum membuat keputusan. Jadi semua anak-anak wanita ni datang berkumpul dalam bilik pesakit (oh ya, bilik ni bilik persendirian 'kelas satu') untuk mendengar penjelasan doktor pakar.. Aku sebagai HO di wad itu bertindak sebagai pengiring memerhatikan boss ku memberi penjelasan..
"Untungnya makcik ni, walaupun dah berusia lanjut (74 tahun), tapi masih nampak sihat lagi (HPT dan DM memang good control, lagi pula penyakit kanser yang dihidapinya masih di peringkat awal), dan adanya anak-anaknya yang dah dewasa, berkeluarga sendiri, datang melawat beliau pada masa sakit tuanya sambil bergurau mesra lagi.. Kalaulah arwah wan masih ada lagi...... " - bisik kecil hatiku 
Jauh dalam hati, aku ada sedikit cemburu.. v_v pesakit tersebut berjaya sampai ke usia tuanya, dapat melihat anak-anaknya berjaya dan berkeluarga sendiri malah mungkin ada anak cucu lagi.. sedangkan arwah wan telah ditakdirkan pergi dulu, tak sempat tengok aku grad, malah tak sempat pun aku nak kenalkan atau berbicara padanya (nota - setidaknya aku rasa seorang ibu ada impian terhadap anaknya; tengok berjaya lulus exam, dapat kerja yang baik, jumpa jodoh, dapat cucu etc) tentang orang yang aku suka.. Kalaulah..

Fokus - Kalaulah..
(Nota - isi fokus ni aku ambil dari sumber berikut islamamatindah.blogspot.com, diolah semula)

Ok, dah tiga kali ulang perkataan ni dalam entri. Aku percaya selain contoh trigger di atas, terdapat banyak lagi contoh-contoh lain yang menyebabkan kita sebut perkataan tersebut. Antaranya:
"Kalaulah aku terima untuk pergi ke matrikulasi sama dengan si M tu, kan bagus.."
"Kalaulah aku studi betul-betul, mesti dapat lulus final exam ni.."
"Kalaulah aku tak terima pelawaan mereka, tentu aku tak terjebak dalam masalah ni.." 
Kalau diamati ketiga-tiga contoh ni serta contoh situasi aku, pastinya semua dapat merasakan nada penyesalan dalam setiap ayat tersebut. Sebenarnya bentuk penyesalan tersebut adalah tidak patut ada dalam diri orang Islam. Hal ini kerana setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah (Qada' dan Qadar), jadi wajib kita redha dengan segala ketentuan Allah. Seperti mana telah pun diperihalkan dalam satu hadith:
"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding orang mukmin yang lemah. Dalam setiap perkara ada kebaikan. Perhatikan apa yang memberi kebaikan kepada kamu. Mohonlah pertolongan daripada Allah dan janganlah berasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu (masalah) janganlah kamu berkata, “Kalau aku melakukan ini dan ini (nescaya tidak berlaku masalah ini). Tetapi katakanlah, “Allah telah menetapkan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya ungkapan ‘kalau’ membuka ruang kepada Syaitan (untuk menyesatkan).Riwayat Ibnu Majah
Seperti hadith tersebut, syaitan sentiasa mengambil peluang di atas setiap kelemahan manusia, yang mana mereka akan cuba menghasut agar berburuk sangka kepada Allah. Seolah-olah kita sudah tertutup untuk menerima takdir Allah, sedangkan Allah sentiasa terbaik dalam perancanganNya.

Allah sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita.. cuma kita perlukan masa untuk nampak
Sekiranya seseorang itu tak redha akan ketetapan Allah, maka pegangannya kepada konsep Qada' dan Qadar akan menjadi goyah. Hal ini adalah satu perkara yang bahaya kerana keimanan terhadap Qada' dan Qadar adalah salah satu dari rukun iman yang enam. Malah sifat ini juga turut digambarkan dalam peribadi orang Munafiq, seperti Firman Allah yang berikut (ayat yang dimerahkan);
Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah Dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka (orang-orang munafiqun) berkata: "Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja Yang berkuasa melakukannya menurut peraturan Yang ditetapkanNya)". mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing". Dan (Apa Yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. (Surah Al 'Imran 3:154)
Firman tersebut adalah sempena peristiwa kekalahan umat Islam dalam perang Uhud yang mana orang munafiq mempersoalkan takdir Allah dalam peristiwa tersebut..

Oleh itu, kita perlulah mengetahui akan kelemahan diri kita (iaitu kita tidak mampu mengetahui apa yang akan berlaku pada masa akan datang, biar pun seminit yang akan datang). Jadi dengannya, kita akan membentuk satu pendirian agar sentiasa berserah diri kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala ketentuannya..
dan sentiasalah bersangka baik kepada Allah ^-^
Sesungguhnya aku ni juga manusia yang lemah dan turut lupa. Astagfirullah~

Some other stream of thought
Perihal takdir/ ketentuan ini juga, adanya kisah menarik tentang Nabi Musa dan Nabi Khidir. Insya-Allah pada masa lain, aku akan kongsikan kisahnya.. --> entri dari kisah nabi musa

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kamus bahasa melayu Sarawak

Kisah Luqman Al-Hakim, anaknya dan keldai

Panduan setting tulisan Jawi di komputer (Windows 10) & telefon pintar (Android)